SANDAKAN: Program Food Bank bukanlah sesuatu yang baru di negara ini malah program seumpama ini sudah banyak dilakukan oleh pelbagai organisasi. Tujuannya adalah untuk membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan asas.

Frankie Poon Ming Fung/Facebook

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung telah melancarkan program ‘Food Bank’ untuk golongan memerlukan terutama buat mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Namun begitu, program ‘Food Bank’ kali ini agak berbeza kerana untuk mendapatkan makanan  penduduk Sim-Sim perlu ‘melakukan sesuatu atau bekerja’.

Menerusi program ‘Food Bank’ tersebut orang ramai perlu mengumpul sampah-sarap untuk digantikan kepada makanan. Satu plastik besar sampah bernilai RM5 dan boleh ditukarkan kepada beberapa jenis makanan.

“Terdapat 13 jenis makanan kering asas yang disediakan seperti beras, mee kering, sardin, minyak dan telur termasuk pelitup muka.

“Bagi membolehkan lebih ramai orang mendapat manfaat, kita mengehadkan setiap individu yang berumur 12 tahun ke atas untuk menggantikan sampah kepada makanan hanya sekali dalam setiap hari.

“Cuba bayangkan sekiranya dalam sebuah keluarga itu terdapat empat orang dewasa, mereka hanya perlu mengutip empat plastik besar sampah dan boleh menukarkannya untuk mendapatkan makanan yang bernilai RM20,” katanya kepada pihak media.

Frankie Poon Ming Fung/Facebook

Menurut beliau, program dua dalam satu itu bertujuan membantu meringankan beban penduduk Sim-Sim yang terjejas dari segi pendapatan dan pekerjaan berikutan penularan wabak COVID-19.

Selain itu, program tersebut dijalankan untuk memupuk semangat kesukarelaan serta sikap cintakan kebersihan dalam kalangan penduduk.

Orang ramai boleh menghantar plastik berisi sampah-sarap di hadapan Lorong H, Rancangan Rumah Murah Sim-Sim untuk mendapatkan kupon dan seterusnya ke Pusat Jagaan Anglikan Sim-Sim di lorong yang sama untuk menggantikannya dengan kupon makanan.

Sampah-sarap yang dikumpul akan dibawa ke rumah sampah berhampiran untuk dikutip oleh petugas kebersihan yang mana ketika ini jadual kutipan sampah di kawasan Sim-Sim adalah sebanyak tiga kali dalam seminggu.

Dalam pada itu, Frankie juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang mahu membantu menyumbangkan bekalan makanan di ‘Food Bank’ tersebut.

Frankie Poon Ming Fung/Facebook

Tambahnya lagi, jika lebih banyak bekalan makanan dapat disediakan, program itu akan dapat dilaksanakan untuk tempoh yang lebih panjang sekaligus dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.

“Kita juga ingin melahirkan penghargaan kepada Pusat Jagaan Anglikan Sim-Sim di Lorong H yang membenarkan program Food Bank Tanjong Papat beroperasi di pusat ini secara percuma,” tambahnya lagi.

Bagi yang mempunyai pertanyaan mengenai program Food Bank, boleh hubungi pejabat DAP Tanjong Papat di talian 012-8276715.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular