Biasa juga kita mendengar kisah penyewa tidak bertanggungjawab meninggalkan rumah yang disewa dalam keadaan berselerak dan ada kalanya sampai rumah sewa tersebut rosak dengan teruk, sehingga membuat tuan rumah naik berang.

Kali ini, seorang tuan rumah berkongsi pengalaman penyewanya yang benar-benar menjaga rumahnya seperti rumah sendiri.

Dan beliau turut berkongsi dengan luahan rasa berat hati hendak melepaskan penyewa kesayangannya pergi.

Facebook

Tuan rumah tersebut yang bertugas sebagai anggota polis, Noor Azrol Saad, dari Senawang mungkin tuan rumah paling bertuah kerana penyewa rumahnya bukan sahaja mengecat semula rumah tersebut, malahan turut membaiki segala kerosakan sebelum berpindah.

Amat mengagumkan dengan sikap penyewa ini apabila rumah sewa itu ditinggalkan dalam keadaan sangat bersih tanpa kekotoran dan sampah sarap.

Facebook

Noor Azrol yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkongsi kisah yang menyentuh hatinya mengenai kebaikan penyewa rumah ini di Facebook.

Menurut Harian Metro, Noor Azrol yang kini tinggal di Senawang berkata, dia terkejut selepas penyewa rumahnya dikenali Fitri Alif mengecat bahagian dalaman rumahnya itu sebelum berpindah.

Facebook

Fitri Alif menyewa rumahnya di Taman Pinggiran Felda berhampiran Sungai Kelamah, Gemas sejak 2017.

“Dua bulan lalu, dia memberitahu saya akan keluar dari rumah sewa itu kerana sudah membeli rumah sendiri di Gemencheh. Saya terkejut malah turut berharap dia terus tinggal menyewa dan menyarankan dia menyewakan pula rumah dibeli kepada orang lain,” katanya.

Facebook

Menurut Noor Azrol, pesanan kepada Fitri Alif supaya menjaga rumahnya itu seperti rumahnya sendiri ketika dia mula-mula menyewa pada 2017, benar-benar dipatuhi dengan penuh amanah.

Katanya, dia pernah datang melihat rumah sewanya pada 2018 dan terkejut melihat perubahan dilakukan Fitri Alif sehingga secara berseloroh memberitahunya mahu tinggal kembali di rumah miliknya.

Facebook

“Akibat percaya kepadanya, kami hanya berhubung melalui telefon jika terdapat sebarang masalah dan saya menyifatkan Fitri Alif sebagai seorang yang bertanggungjawab. Pengalaman sebelum itu apabila dua penyewa membuat onar sangat menakutkan saya untuk menyewakan rumah, namun tidak sangka Fitri Alif lain daripada yang lain,” kata Noor Azrol.

Noor Azrol  berharap bakal penyewa baharu rumahnya kelak turut mempunyai sikap bertanggungjawab dan akan menjaga rumah yang disewa dengan baik seperti mana dilakukan Fitri Alif.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular