Pada 25 Oktober, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memutuskan untuk tidak menerima usul Perdana Menteri untuk mengisytiharkan perintah darurat.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan perintah darurat di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa kerajaan telah menguruskan pandemik COVID-19, yang kini memasuki gelombang ketiga di beberapa negeri dengan baik dan berkesan.

Dato’ Indera Ahmad Fadil dalam kenyataan itu berkata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung gejala pandemik COVID-19 dengan berkesan.

“Setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu serta mengambil kira keadaan yang melanda negara ini, Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa kerajaan sekarang berjaya menangani pandemik dengan berkesan. Al-Sultan Abdullah juga berpendapat bahawa buat masa ini, tiada keperluan untuk baginda membuat pengisytiharan darurat di seluruh negara atau di mana-mana bahagian negara,” kenyataan itu memetik.

Yang di-Pertuan Agong juga menegur Ahli Parlimen supaya berhenti segera segala politiking yang boleh menggugat kestabilan negara dan kerajaan kehilangan fungsi.

Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi mana-mana Ahli Parlimen untuk terus melakukan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan semasa.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021, yang dijadualkan akan dibentangkan di sidang Parlimen, adalah amat penting kepada rakyat dalam memerangi wabak COVID-19 dan untuk memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” jelas kenyataan itu.

Peringatan Yang di-Pertuan Agong seharusnya dipandang serius semua pihak demi menjamin kesejahteraan rakyat. Kini terpulang kepada ahli politik sama ada yang berada dalam kerajaan atau pembangkang untuk membuktikan kematangan politik masing-masing demi menjaga kepentingan rakyat yang kini bergelut dengan pandemik COVID-19 dan kemelut ekonomi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular