Berikutan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dari hari ke hari, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kiriman di laman Twitter rasminya pada 24 Oktober mengingatkan rakyat Malaysia untuk sama-sama bersatu dan bekerjasama untuk melawan ‘peperangan’ ini.

“Kita memerlukan kesatuan dan kebersamaan untuk memerangi Covid-19, bukan (memerangi) antara satu sama lain. Barisan hadapan kami telah bertahan selama 10 bulan ini untuk 24/7 (24 jam, 7 hari seminggu). Keletihan mental & fizikal mula muncul. Ada yang bersedia untuk mengundur diri. Sila belajar dari pilihan raya negeri Sabah,” tulisnya tegas dalam kiriman pada pagi Sabtu itu.

@DGHisham/Twitter

Dalam kiriman yang sama, beliau turut memuat naik sekeping gambar dengan petikan ucapannya dalam sidang media pada 1 Oktober yang lalu. Menerusi petikan itu, Tan Sri Dr Noor Hisham mengingatkan semua rakyat Malaysia untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting yang perlu dilakukan di luar.

@DGHisham/Twitter

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman Tan Sri Dr Noor Hisham ini telah pun meraih sehingga lebih dari 15,600 sukaan, lebih dari 13,200 retweet dan 626 komen.

Justeru, untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dikawal, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan sentiasa beringat untuk tidak keluar dari rumah jika tiada apa-apa urusan penting yang perlu diselesaikan.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular