Sejak bulan Mac, pemain tengah Mesut Ozil tidak lagi bermain untuk Arsenal. Pada 20 Oktober, media Britain melaporkan bahawa Arsenal telah mengusir Mesut Ozil daripada menyertai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tidak disenaraikan dalam Liga Eropah. 

Yang bermaksud sehingga awal tahun hadapan, Mesut Ozil tidak lagi berpeluang bermain mewakili Arsenal. 

Pada 21 Oktober, Mesut Ozil akhirnya bersuara dengan memberi reaksi di media sosial mengenai musibah yang melanda dirinya. Mesut Ozil memberitahu alasan beliau kehilangan peluang untuk bermain dalam kesemua liga yang penting itu adalah kerana dirinya secara lantang mengkritik penindasan etnik Uyghur yang kini dipenjarakan di kem tahanan Xinjiang di China.

Seawal bulan Disember tahun lalu, Mesut Ozil membuat beberapa kenyataan di media sosial akan tanda solidaritinya berkenaan nasib etnik Uyghur di Xinjiang dan lantang mengkritik mengapa negara-negara Islam tidak bersuara.

Kelantangannya bersuara dalam isu kemanusiaan telah menyebabkan Mesut Ozil dilarang sama sekali untuk beraksi dalam EPL, tetapi pada waktu itu, Arsenal memberi komen bahawa kenyataan Mesut hanyalah pendapat peribadi yang dianggap pihak mereka sebagai politikal.

Walau bagaimanapun, Mesut Ozil telah digugurkan dari senarai Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara Eropah baru-baru ini, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa Mesut Ozil sebenarnya dibekukan atas alasan beliau terlalu lantang bersuara mengenai isu Uyghur. 

Kenyataan Mesut Ozil di laman Twitter dan Facebook antaranya berbunyi:

Ini adalah mesej yang sukar untuk ditulis kepada peminat Arsenal, kelab yang saya bermain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya sangat kecewa dengan hakikat bahawa saya masih tidak didaftarkan dalam Liga Perdana Inggeris buat masa ini. 

Setelah menandatangani kontrak baru pada tahun 2018, saya berjanji menunjukkan taat setia kepada Arsenal, kelab yang saya sayangi, tetapi amat menyedihkan ia tidak seperti yang diharapkan.

Selepas mendapat tahu, sukar bagi saya untuk meneruskan kesetiaan ini sekarang. Saya berusaha untuk kekal positif setiap hari bahawa mungkin ada peluang untuk kembali di dalam skuad ini sekali lagi.

Itulah antara sebab saya berdiam diri selama ini. Sebelum skuad berehat kerana pandemik COVID-19, saya sangat gembira dengan perkembangan di bawah jurulatih baru, Mikel Arteta, yang membawa kami ke jalan positif dan saya boleh katakan bahawa prestasi saya berada pada tahap terbaik.

Tetapi keadaan kemudiannya berubah, sekali lagi saya tidak dibenarkan bermain bola sepak untuk Arsenal. 

Apa lagi yang boleh saya katakan?

London masih terasa seperti di rumah sendiri, saya masih mempunyai ramai rakan baik dalam pasukan ini, dan saya masih merasakan hubungan yang kuat dengan peminat kelab ini.

Akhirnya, Mesut Ozil memberi isyarat bahawa dia dibekukan menyertai Liga Perdana Inggeris atas alasan politik:

Walau bagaimanapun, saya akan terus memperjuangkan peluang saya dan tidak akan membiarkan musim ke-8 saya di Arsenal berakhir seperti ini.

Saya boleh berjanji kepada anda semua bahawa keputusan sukar ini tidak akan mengubah pendirian dan pemikiran saya. Saya akan terus berlatih sebaik mungkin dan seboleh-bolehnya akan menggunakan suara saya untuk isu kemanusiaan dan keadilan. 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL SUKAN

Video Popular