Tindakan seorang remaja lembam, Nuraina Erieka Abdullah menyelamatkan adiknya ketika kebakaran telah mendapat pengiktirafan apabila dianugerahi dengan Pingat Hang Tuah.

Anugerah terssebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020.

Sambutan yang jatuh pada 17 Oktober lalu difahamkan terpaksa diadakan secara maya disebabkan penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan, Nuraina yang berusia 13 tahun itu pada mulanya sudah keluar menyelamatkan dirinya dalam satu insiden kebakaran di flat Taman Anggerik Desa, Kuantan.

Namun dia kembali memasuki rumah yang terbakar lalu mengeluarkan adiknya yang berusia setahun tiga bulan.

Insiden tersebut difahamkan berlaku pada 23 September lalu, di mana pada ketika itu, kedua ibu bapa Nuraina tiada di rumah.

“Saya tidak menyangka pengorbanan Nuraina menyelamatkan adiknya melayakkan dia menerima anugerah ini”, kata bapa Nuraina, Wan Ahmad Faiz.

“Saya tidak pernah menyangka anak saya yang dilahirkan istimewa ini kini menjadi kebanggaan keluarga. Kami sekeluarga terharu dengan pencapaian yang diraihnya”.

Oleh kerana keberaniannya, anak sulung daripada tujuh beradik tersebut menerima trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Anugerah Pingat Hang Tuah yang diperkenalkan pada tahun 1960 ini cukup istimewa kerana ia diberikan kepada tokoh kanak-kanak berdasarkan kepada keberanian luar biasa yang dimiliki.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular