Satu video yang menunjukkan aktiviti Zumba secara berkumpulan di sebuah pusat beli belah yang terletak di Melaka pada 17 Oktober lalu menerima kritikan hebat netizen.

Ini kerana netizen beranggapan acara yang dianjurkan oleh pihak Fufoo Studio tersebut jelas sekali tidak mengendahkan risiko jangkitan COVID-19 yang kian meningkat pada ketika ini.

Menerusi rakaman video terbabit, dapat dilihat lebih 30 individu yang terlibat dalam aktiviti itu tidak memakai pelitup muka.

Sehubungan dengan kecaman yang diterima, pihak Fufoo Studio kemudian memuat naik satu kenyataan di laman Facebook mereka.

“Kami sebagai penganjur telah berkali-kali ditanya oleh pihak pengurusan sebelum acara ini diteruskan. Kami yakin untuk menjalankannya”.

Fufoo Studio/Facebook

Pihak mereka juga telah mengenalpasti SOP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang wajib dilakukan.

Ini termasuklah dengan memastikan peserta mendaftar di aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas acara, memastikan penjarakan fizikal dan mengawal kawasan yang hanya membolehkan peserta sahaja masuk.

“Oleh kerana acara ini adalah acara sukan dan dinasihati oleh pihak KKM, maka peserta tidak digalakkan untuk memakai pelitup muka bagi mengelakkan situasi kesesakan nafas”.

Fufoo Studio/Facebook

Tambah penganjur lagi, pihak polis juga turut hadir semasa acara itu dilangsungkan bagi memastikan semua SOP dipatuhi.

Namun disebabkan oleh desakan daripada netizen dan pihak pengurusan, maka penganjur kemudian menghentikan acara berkenaan secara serta merta.

Fufoo Studio juga memohon maaf kepada peserta, pihak pengurusan, pengunjung serta netizen jika tindakan itu menyinggung mana-mana pihak.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular