Seorang wanita berusia 32 tahun yang memakai gelang merah jambu telah ditahan oleh pihak polis pada 16 Oktober lalu selepas didapati ingkar perintah kuarantin.

Suspek yang menerima arahan kuarantin daripada Jabatan Kesihatan Labuan pada waktu itu dilaporkan sedang membeli-belah di sebuah kedai runcit bersama suaminya selepas pulang dari hospital untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kali yang kedua.

Menurut SAYS, suspek telah diperintah untuk menjalani kuarantin bermula 16 Oktober sehingga 29 Oktober selepas dikenal pasti masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supritendan Muhammad Farid Ahmad berkata, penahanan suspek di kedai runcit berkenaan adalah hasil daripada maklumat orang awam dan selepas siasatan dijalankan, suspek didapati telah diarah untuk menjalani sambungan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan kali kedua.

“Namun suspek ingkar dan mengabaikan perintah kuarantin berkenaan dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari hospital,” katanya.

Sehubungan itu, suspek telah disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana mengingkari perintah sah yang dikeluarkan oleh pegawai berkuasa selain daripada turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan bagi kesalahan pertama hukuman penjara tempoh tidak lebih dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun, atau denda atau kedua-duanya,” tambahnya lagi.

Selain itu, bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200 bagi setiap hari kesalahan yang dilakukan secara berterusan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular