Selepas tujuh bulan terpisah, seorang suami penyayang membuat kejutan buat isteri tercinta dengan membawanya menaiki Ford Mustang yang pada mulanya mahu disewa tetapi sebaliknya ditaja pemilik kereta.

Pada mulanya Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34 tahun telah berniat untuk menyewa kereta mewah tersebut sebagai kejutan buat isterinya, Norhariyanti Abu Bakar, 38 tahun sekembalinya ke Malaysia.

Harian Metro melaporkan Shahruddin bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumahnya di Johor Bahru berikutan penutupan sempadan sejak 7 bulan yang lalu.

Eddie Dieana/Facebook

Pada 3 Oktober yang lalu, Shahruddin telah kembali ke Malaysia dan menjalani kuarantin kendiri sebelum pulang ke rumah keluarga di Johor Bahru pada 6 Oktober selepas disahkan negatif COVID-19.

Shahruddin berkongsi video dia memberi kejutan bertemu isteri dan keluarganya di akaun Facebook pada 6 Oktober yang telah ditonton lebih 61,000 kali.

Pada 13 Oktober yang lalu, Shahruddin turut memuat naik video dia memberi kejutan buat isterinya dengan membawa Ford Mustang itu selepas menerimanya daripada pemilik kereta.

Eddie Dieana/Facebook

“Saya bawa isteri makan malam dengan menaiki Ford Mustang yang disewa khas dua hari lalu sebagai tanda hadiah terima kasih menguruskan anak-anak ketika saya tiada di sisi,” kata Shahruddin.

Tambahnya, sepatutnya dia hanya mahu menyewa kereta itu selama satu hari dengan bayaran sewa RM2,000, tetapi kemudian memutuskan dengan bertanya pemilik kereta untuk menyewanya separuh hari kerana tidak cukup bajet.

Eddie Dieana/Facebook

Kemudian tanpa disangka dia menerima kereta itu secara percuma daripada pemilik untuk perjalanan 2 hari.

“Pemilik kereta beritahu dia berasa tersentuh dan terharu dengan kisah yang saya kongsikan di Facebook dan ingin menaja sepenuhnya Ford Mustang itu,” katanya dengan rasa syukur.

Eddie Dieana/Facebook

Sepanjang 7 bulan tidak dapat bertemu dengan keluarganya, hanya panggilan video menjadi pengubat rindunya kepada isteri dan anak-anak. Malahan, lebih menyedihkan dia terpaksa meninggalkan anak lelaki pertamanya yang masih bayi.

“Saya juga terpaksa meninggalkan anak lelaki pertama saya yang baru berusia tiga bulan ketika itu. Kedua-dua anak saya seakan tidak mengenali saya kerana mereka masih kecil sewaktu saya meninggalkan rumah.

Tambah Shahruddin lagi, dia memang sengaja merahsiakan kepulangannya ke kampung kerana mahu memberi kejutan kepada seluruh ahli keluarga.

Eddie Dieana/Facebook

“Ibu saya terkejut dan tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur kerana saya sudah pulang memandangkan situasi ini merupakan kali pertama saya berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Jika diikutkan rutin harian kerjanya, Shahruddin hanya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja namun disebabkan penutupan sempadan, dia terpaksa menyewa katil bernilai 400 dolar Singapura (RM1,221) sebulan.

“Mujur saya tidak dibuang kerja, kalau tidak mungkin senasib dengan gelandangan di sana yang dibuang kerja tetapi tidak dapat pulang ke Malaysia,” katanya bersyukur.

Shahruddin berkata, dia bersyukur permohonan cutinya untuk pulang ke tanah air mendapat kebenaran syarikat walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Eddie Dieana/Facebook

Saya mengambil cuti selama tiga minggu dan akan kembali semula ke Singapura selepas ini.

“Semua kos termasuk ujian saringan COVID-19 dan hotel untuk kuarantin selepas balik semula ke Singapura memakan belanja hampir 1,236 dolar Singapura (RM3,775.23),” katanya.

Shahruddin berkata, dia akan memanfaatkan cutinya bersama seluruh ahli keluarga sebelum pulang bertugas semula di republik itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular