Susulan pandemik COVID-19 terus menular di seluruh dunia termasuk di negara ini yang menyebabkan perintah kawalan pergerakan terpaksa dilaksanakan sehingga hujung tahun, tidak dinafikan puluhan ribu rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan yang miskin terus berada dalam kancah kemiskinan secara lebih teruk lagi.

Seorang netizen bernama Dzul Ikh Wan turut menyedari keadaan ini seperti mana kita semua, dan beberapa hari yang lalu beliau disapa seorang budak lelaki yang memintanya memberi RM5.00 kerana dia sedang kelaparan untuk membeli nasi goreng.

“Terperanjat tadi tengah parkir kereta hendak beli maggi untuk hafizhan, tiba-tiba budak ini ketuk tingkap. Buka tingkap tanya hendak apa? Dia kata hendak RM5. Mulut tiada insurans jawab ‘tak ada’. Apa la saya ni,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Dzul Ikh Wan/Facebook

Kemudian kata Dzul, dia tergerak hati untuk bersembang lanjut bersama budak lelaki ini dengan bertanya hendak buat apa dengan RM5.00 itu.

“Hendak beli nasi goreng,” jawab budak ini, sambil Dzul musykil ke mana gerangan ibu bapanya yang membiarkan sahaja anak mereka berkeliaran dan meminta simpati orang ramai.

Dzul terus bertanya lebih lanjut. Budak berusia 9 tahun ini bercerita, dia ditinggalkan seorang diri di tepi jalan sementara ibunya pergi mengutip tin kosong untuk dijual.

Lebih menyedihkan, dia menjelaskan ibu bapanya sudah lanjut usia dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kehidupan mereka sekeluarga terpaksa pula menagih simpati daripada jiran-jiran seperti menyediakan bekalan air dan jiran kadang kala bersedekah keperluan asas lain.

Dzul Ikh Wan/Facebook

Dzul yang berasa amat kasihan dengan nasib budak ini kemudian membelikan dia roti, susu dan lain-lain bahan makanan untuk keluarganya dan menghulurkan dia sedikit duit.

Kemudian budak ini berkata, “Tak payahlah bagi duit…Pak cik sudah belikan macam-macam.”

Dzul terus juga menghulurkan duit itu sambil berkata kepadanya, “Tak apa, ini nanti esok-esok buat beli makanan.”

Tulis Dzul dalam posting itu, “Hendak pulang saya beri dia kad nama, sambil kata kalau hendak dapur dekat rumah pak cik ada lebih, nanti pak cik boleh hantar. Kalau emak dia kata dia curi barang makanan ini ke apa, ada la bukti. Saya hendak tawar kerja cuci pinggan tidak patut la pula untuk budak ini jalan kaki…”

Dzul Ikh Wan/Facebook

Sebak mengenangkan kesempitan dan kemiskinan keluarga berkenaan selepas membantu mereka dengan sekadar yang termampu, Dzul kemudian terbayang bagaimana nasib anak-anaknya sekiranya berada dalam situasi susah seperti itu, tidak mampu memberikan anak-anak makan.

Di akhir posting itu, Dzul menulis, “Tidak tahulah cerita budak ini betul ke tidak, harap-harap sedekah ini diterima Allah. Bukan hendak menunjuk-nunjuk, sebab orang lain itu boleh sedekah macam-macam, kita ambil contoh sahaja. Lagipun rezeki itu Allah punya, kita hanya hambaNya sahaja.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular