Saban hari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes penularan positif COVID-19 yang kian meningkat. Malahan di seluruh dunia, tiada petanda menunjukkan bilangan kes semakin menurun dan bertambah reda.

Apa yang terus diingatkan oleh KKM tanpa gagal ialah dengan menasihati orang awam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana pandemik ini masih belum ada penawarnya untuk penyembuhan secara total.

Ketika ini, negeri Sabah berhadapan situasi kes COVID-19 yang mendadak meningkat dan para petugas barisan hadapan sedang bertungkus-lumus berperang dengan musuh ghaib yang kini mencapai tahap kritikal.

Unsplash/ Gambar Hiasan

Seorang warga Sabah dari Semporna menulis di laman Facebook bagaimana dia tidak menyangka dirinya turut dijangkiti virus berbahaya itu walaupun sebelum ini dia akur mematuhi peraturan dan SOP yang disarankan oleh KKM. Ikuti kisah ini bagaimana dirinya kini menjadi salah seorang pesakit COVID-19 :

AKU PESAKIT COVID-19

Awalnya tidak terfikir mahu kongsi tapi lepas bercerita dengan sahabat-sahabat terdekat, aku rasa pengalaman ini boleh dijadikan iktibar dan langkah berjaga-jaga untuk rakan-rakan Facebook semua. InsyaAllah. Jadi, entri ini bukan satu pengumuman ya. Haha.. Jika anda putuskan untuk membaca, boleh tolong baca sampai habis walaupun ia panjang dan membosankan.

DISAHKAN POSITIF COVID-19 PADA 7 OKTOBER 2020

Panggilan dari nombor yang tidak dikenali terus buat jantung berdegup kencang. “Assalammualaikum, Cik? Saya dari Klinik Kesihatan Semporna. Cik tahukah yang keputusan swab cik positif?” Aku macam apa? “Minta cik kemas barang-barang keperluan, sebentar lagi pihak kami datang jemput cik dan cik kena masuk pusat kuarantin ya”. Fikiran dan perasaan bercampur baur. Agak menggigil dan air mata jatuh.

Bukan apa, fikirkan mak kontak rapat. Seandainya jadi apa-apa, dia macam mana? Alhamdulillah, mak sudah swab test dan kuarantin di rumah sekarang. Syukur keluarga tidak ramai di rumah dan sejak aku mula rasa tidak sihat, memang sudah mula jarakkan diri dan kerap di bilik sahaja walaupun belum swab test. Cuma keluar bila perlu. Mak seorang sahaja kontak rapat. Memang kuarantin diri, tapi kenapa boleh positif?

SEJARAH PERJALANAN DAN PERGERAKAN

15 September 2020, aku ke Tawau bersama mak atas urusan kerja.

17 – 18 September 2020, aku masih aktif ke kedai hardware dan 1 pasaraya di Semporna untuk membeli barang keperluan pengubahsuaian rumah dan perbelanjaan.

Tapi, aku memang seorang yang cukup jaga SOP dan sentiasa memakai pelitup muka, hand sanitizer dan tidak bersentuhan dengan sesiapa ketika berada di luar. Bila positif mak sendiri terkejut. Haha… TAPI JANGAN TANYA AKU DI MANA DAPAT JANGKITAN YA. SEBAB AKU PUN TIDAK TAHU.

DEMAM

16 September 2020, bermula episod demam yang tidak seperti demam biasa. Aku jenis selalu sakit tapi demam kali ini lain rasanya. Rasa demam, badan rasa panas dan tidak selesa tapi tenaga seperti biasa dan lain-lainnya normal sebab tu masih mampu keluar beli barang-barang pertukangan dan belanja rumah. Cuma 1 perkara pelik, aku tidak berpeluh walau keadaan panas sekali pun. Walaupun sudah minum ubat, tetap kondisi tiada perubahan. Tetap rasa demam dan tidak selesa tapi masih keadaan tubuh seperti biasa macam tidak nampak demam atau sakit pun. Nampak tak betapa Covid ni sangat halus kerjanya.

Bab paling terbaik ialah aku demam selama 2 minggu. Cetek fikirkah apa tidak pergi periksa demam begitu lama? Hahaha… Ya, persoalan tu sudah bertubi-tubi aku kena. Bukan tidak periksa. Sudah pergi unit kecemasan Hospital Semporna pada 19 September tapi sebab aku tiada kontak rapat dengan orang yang positif Covid ni jadi, untuk swab test tu belum menjadi satu keperluan. Faham yang fasiliti unit kesihatan di Semporna tidak banyak dan canggih, jadi aku ambil keputusan untuk total kuarantin diri bermula 19 hari bulan tu. Aku dan mak mula penjarakan sosial di rumah. Elak sebarang kemungkinan.

HILANG DERIA BAU DAN HIDU 100 PERATUS

Pada 28 September, hari ke-13 aku demam bermula detik gunda gulana macam mahu gila bila aku kehilangan deria bau secara total. Sabun, syampu, minyak wangi, bedak, balsam, losyen semua aku calit hidu dekat-dekat dengan hidung tapi satu bau pun tiada. Aku terus kunci pintu dan minta mak jangan sekali-kali masuk bilik. Diri menggigil dan tidak tahu mahu buat apa. Dalam fikiran, Ya Allah, andai aku positif, jagakan ibuku ya Allah.. Lindungi dia dariku.

Tapi mak ni seorang yang hebat kan? Mak suruh siap-siap dan bawa ke klinik untuk swab test. Mak pandu kereta bawa aku duduk di belakang. Bukan tidak boleh pandu sendiri tapi keadaan kaki dan tangan memang tidak mengizinkan untuk memandu akibat kekejangan urat, seminggu sebelum mula demam. Jadi aku ni memang jenis tidak fikir diri juga la.. Hahaha.. Kaki tangan tidak sihat pun tetap memandu selagi mampu. Sudah nyata sakit sekarang, mak tidak benarkan la. Huhuhu..

Jadi aku buat swab test pada 28 September 2020 dan hanya tahu positif pada 7 Oktober 2020. 10 hari. Lama kan? Sebab makmal sudah overload dan lebih ramai yang ada simptom bergejala teruk dan berisiko. Jadi, tenang dan cuba faham keadaan.

7 Oktober 2020, aku mula jadi penghuni pusat kuarantin. Agak gabra sebab ya la kiri kanan depan belakang orang yang positif COVID-19 dan pegawai-pegawai kesihatan semua macam angkasawan. Dalam hati, Ya Allah, tidak pernah terfikir aku akan berada di sini. Berikan aku kekuatan ya Allah dan yang paling penting jagakan keluarga dan sahabat-sahabatku yang masih sihat di luar sana.

JADI, PENGAJARAN DARIPADA KISAH INI…

1. Pantau kesihatan anda. Kita yang tahu diri macam mana. Bila demam batuk atau selsema, cuba kenal pasti jika seperti biasa yang dialami, cepat-cepat jumpa doktor dan dapatkan ubat. Jika ubat mampu melegakan sakit dengan cepat insyaAllah tiada apa-apa. 

Jadi, bila demam atau kemungkinan ada simptom COVID-19, jangan panik ya. Ini penting untuk kesihatan mental kita lebih-lebih lagi musim PKPP/PKPDB yang mana kes makin meningkat. Tentunya cepat rasa seperti terkena jangkitan kan? Silap-silap jadi anxiety pulak.

2. Kurang dedahkan diri pada persekitaran luar. Jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Jangan anggap diri kebal. Aku cukup jaga diri. Sebelum keluar rumah, hand sanitizer bukan hanya di tangan tapi sudah jadi macam losyen. Sentiasa pakai pelitup muka. Sendiri dalam kereta pun pakai pelitup muka. Dalam kereta ada penyembur Dettol. Sebelum masuk kereta lepas balik dari kedai aku sembur. 

Cuma SATU KESILAPAN AKU ADALAH TIDAK TERUS MANDI APABILA SAMPAI DI RUMAH! Jangan kecam ya. Aku ada sebab. Sebabnya rumah tengah buat pengubahsuaian, sudah tentu keadaan tidak seperti biasa. Mesin basuh tidak terpasang dan kawasan toilet dan air yang hanya boleh tampung untuk mandi. Jadi untuk rendam dan cuci baju tidak semudah itu. 

Aku juga perlu keluar ke pekan sampai 5-6 kali sehari. Ada saja benda yang kurang. Jadi untuk mandi dan tukar-tukar baju tidak semudah itu. TAPI ANDA! Tidak ubahsuai rumah kan? Rumah selesa untuk buat apa saja kan? Jadi mandi setiap kali balik dari beli barang-barang ya..

3. Jika anda ada gejala seperti demam atau batuk tapi masih tidak dapat buat swab test sebab kekangan keadaan hospital atau klinik yang memang sibuk, mulalah asingkan diri. Jaga jarak dari orang lain. 

Dalam masa seminggu jika masih demam, kebanyakan orang akan kehilangan deria bau. Semua geng-geng kuarantin di sini begitu. Demam dan batuk, kemudian kehilangan deria bau. Jika ini berlaku, bertenang dan pergi ke klinik atau hospital berdekatan dan maklumkan mahu ambil swab test COVID-19. Keputusan akan keluar dalam masa 5-10 hari. 

4. Hilang deria bau 99% memang akan positif ya. Jadi, jika anda kehilangan deria bau sebelum swab test jangan tunggu dapat gelang kehormat tu baru kuarantin ya. Terus kuarantin diri! Jangan jadi pembawa dan jangkit orang lain. Kita mungkin kuat untuk lawan tapi bagi mereka yang lemah mungkin akan kehilangan nyawa. Nauzubillah. Silap-silap kita pembunuh senyap. Tolong Mr. C buat kerja.

Walaupun aku cerita macam tiada apa yang perlu ditakutkan tapi jangan anggap COVID-19 ni main-main. Walaupun mungkin pada awalnya seperti tiada apa, kita tidak tahu bila-bila masa antibodi kita lemah dan beri peluang COVID untuk serang. Dia tetap meragut nyawa.

Begitulah kerisauan kami pesakit-pesakit di sini. Nampak macam ok tapi sebenarnya dalam hati dan minda? Terlalu berhati-hati dan cuba bertabah untuk sebarang kemungkinan sebab virus berbahaya sudah ada dalam tubuh. 

Ingat, segalanya milik Allah. Dia satu-satunya yang akan menyembuhkan kita. Allah duga sebab Allah sayang. Allah jentik dengan sakit dan wabak sebab Allah mahu beri peringatan. Imbas diri dan iman. InsyaAllah, Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Semoga kisah pesakit ini menjadi satu pengajaran berharga buat kita semua untuk meneruskan sikap sentiasa berwaspada setiap masa tanpa alpa dan leka daripada dijangkiti virus yang mampu meragut nyawa dengan mudah ini, yang pada bila-bila masa sahaja tanpa kita sedari.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular