Berikutan peningkatan kes secara rawak di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sejak beberapa hari ini, pihak kerajaan melalui Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada petang 12 Oktober telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan pada 14 Oktober 2020.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman Facebook rasminya telah memuat naik borang permit pergerakan PKPB yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk tujuan merentas daerah.

Kegunaan borang ini bagaimanapun adalah terhad kepada empat kategori individu sahaja iaitu:

Kategori pertama:

Individu dari kawasan yang sedang melaksanakan PKPB iaitu negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ingin melakukan pergerakan ke negeri lain atas sebab-sebab kecemasan (sakit dan kematian) sahaja,

Kategori kedua:

Individu yang hendak merentasi kawasan yang sedang melaksanakan PKPB iaitu negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya atas sebab-sebab kecemasan,

Kategori ketiga:

Individu dari luar yang ingin memasuki ke kawasan yang sedang melaksanakan PKPB atas sebab-sebab kecemasan, dan

Kategori keempat:

Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Untuk makluman lanjut mengenai situasi kedua dan ketiga, anda diminta merujuk kepada contoh situasi yang berikut:

Contoh situasi bagi individu dalam kategori kedua:

Individu dari negeri Johor yang hendak menuju ke negeri Pulau Pinang dan terpaksa merentasi negeri Selangor atas sebab kecemasan, hendaklah mengisi dan menghantar borang permit tersebut di balai polis yang berhampiran dengan tempat kediaman di negeri Johor sebelum membuat pergerakan.

Contoh situasi bagi individu dalam kategori ketiga:

Individu dari negeri Melaka yang hendak memasuki Wilayah Persekutuan Putrajaya kerana berlaku kecemasan, hendaklah mengisi dan menghantar borang permit tersebut di balai polis yang berhampiran dengan tempat kediaman di negeri Melaka sebelum membuat pergerakan.

Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang terlupa untuk mengisi borang ini dan telahpun melakukan pergerakan, mereka boleh mengisi borang yang sama pada separuh perjalanan dan borang berkenaan perlu dihantar ke mana-mana balai polis yang terdekat SEBELUM merentasi atau memasuki sekatan jalan raya yang dilakukan dalam kawasan PKPB.

Disamping itu, orang ramai juga diingatkan bahawa permit pergerakan ini hanya dibenarkan untuk DUA ORANG SAHAJA dalam setiap pergerakan. 

Bagi pekerja yang perlu hadir ke tempat kerja, mereka perlu menunjukkan pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan. Walau bagaimanapun, untuk pekerja yang bekerja dalam daerah yang sama, syarat memiliki pas pekerja atau surat majikan adalah dikecualikan.

Borang kebenaran ini boleh dimuat turun menerusi pautan ini atau menerusi imej yang disertakan dalam entri ini atau diperolehi dari balai-balai berdekatan dan dihantar ke kaunter pertanyaan balai polis dalam satu salinan sahaja.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19 di Malaysia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular