Saban hari, kita melihat dan mendengar berita ramai orang yang menjadi mangsa kehilangan sebahagian wang simpanan mereka daripada yang berjumlah kecil hingga ratusan ribu ringgit angkara terperdaya dengan helah ‘scammer’ atau penipu.

Baru-baru ini, seorang scammer telah memanggil orang yang salah dan helahnya yang tidak licik sama sekali malahan kelihatan dungu telah didedahkan. Sindiket ini telah memanggil Koperal Suraya, seorang polis wanita dari Kedah.

Polis Kedah telah memuat naik video cubaan seorang lelaki untuk menipu Koperal Suraya di laman Facebook dan saluran YouTube milik mereka, dan cubaannya itu ternyata amat tidak profesional sama sekali.

YouTube/Paparan Skrin

Sebelum itu, Koperal Suraya dihubungi oleh scammer ini dan untuk tujuan rakaman video, beliau telah memanggil mereka kembali.

Panggilan telefon itu dijawab oleh seorang lelaki yang memperkenalkan namanya sebagai Yusri bin Mohamad dari Jabatan Kastam Pelabuhan Klang. Setelah bercakap dengan berputar-belit yang memperlihatkan kedunguannya, dia kemudian meminta Koperal Suraya untuk memberikan nombor kad pengenalannya.

Setelah berpura-pura melakukan ‘pemeriksaan’, lelaki itu kemudian mengatakan bahawa Koperal Suraya ada membeli barangan dari China dengan nilai lebih dari RM15,000 dan kemudian ‘dikenakan cukai’ kastam hampir RM4,000.

Koperal Suraya kemudian menafikan telah membeli barangan dengan nilai yang sebanyak itu dan beliau mengatakan bahawa ia kelihatan pelik. Lelaki itu kemudian mengatakan bahawa jika beliau tidak membayar ‘cukai’ yang dikenakan pada hari itu juga, maka pihak mereka akan ‘menyenarai hitam’ namanya. 

YouTube/Paparan Skrin

Koperal Suraya kemudian bertindak balas dengan meminta nombor kad pengenalannya dan ‘pegawai kastam’ itu enggan memberikannya.

Dia kemudian mengulangi semua helahnya itu dengan terus mengatakan bahawa semua akaun bank Koperal Suraya akan disenarai hitam sekiranya cukai tersebut tidak dibayar.

Polis wanita ini kemudian mendedahkan bahawa beliau memberikan namanya yang betul tetapi nombor kad pengenalan yang salah dan menegaskan bahawa dia sama sekali tidak pernah membeli apa-apa barangan dalam talian.

Scammer itu kemudian terdiam apabila telah kehabisan idea untuk membuat helah, lalu bertindak untuk memutuskan panggilan itu.

YouTube/Paparan Skrin

Kalangan netizen memberi komen bahawa mereka berasa geli hati dengan interaksi itu apabila Koperal Suraya dengan selamba melayan scammer itu dengan helahnya yang tidak masuk akal.

Manakala, sebilangan netizen mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak terus mengesan scammer tersebut dan memberkasnya. Pihak polis kemudian mengatakan bahawa salah satu modus operandi scammer adalah dengan menggunakan nombor kad pengenalan si mati untuk mendaftarkan nombor telefon akaun.

Berhati-hati dengan scammer di luar sana. Jangan cepat panik apabila mereka mengugut untuk menyenarai hitam nama anda tanpa usul periksa dan sewenang-wenangnya memberikan nombor kad pengenalan sebenar kepada pemanggil tidak dikenali.

Tonton video di bawah:

Maybe you're interested :

Share
Kategori: VIDEO

Video Popular