Dokumen sulit Parti Komunis China (PKC) menunjukkan bahawa terdapat pesakit COVID-19 di Wuhan yang mempunyai gejala pada pada awal September 2019 namun pihak berkuasa tidak mendedahkannya kepada dunia.

Terdapat serangkaian dokumen yang bocor menunjukkan bahawa pesakit di China yang memiliki gejala yang serupa dengan COVID-19 dimasukkan ke hospital beberapa bulan sebelum garis masa yang dinyatakan oleh PKC.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan tentang bila agaknya virus PKC itu mula merebak di Wuhan yang menjadi pusat perebakan epidemik terbabit.

Gambar Hiasan/Barcroft Media | Getty Images

Berdasarkan data hospital yang dipercayai, sekurang-kurangnya seorang pesakit dengan gejala COVID-19 telah dirawat pada bulan September 2019.

Manakala puluhan lagi pesakit dimasukkan ke hospital pada bulan berikutnya. Hospital Wuhan juga melaporkan beberapa kematian ekoran radang dan jangkitan paru-paru akut serta gejala lain yang serupa dengan COVID-19 pada bulan Oktober.

Epidemik itu hanya diumumkan secara terbuka pada 31 Disember oleh Suruhanjaya Kesihatan Bandar, setelah kenyataan media sosial oleh doktor pemberi maklumat menjadi tular.

Gambar Hiasan/Kevin Frayer | Getty Images

Surat bertarikh 19 Februari mendedahkan bahawa terdapat sebuah pasukan penyiasat nasional yang ditubuhkan oleh PKC bagi melakukan pengesanan awal terhadap penyakit ini.

Mereka telah meminta data daripada semua institusi perubatan di Wuhan dalam tempoh 1 Oktober hingga 10 Disember 2019, termasuklah data mengenai pesakit yang mengunjungi klinik di sekitar Pasar Makanan Laut Huanan – lokasi asal wabak.

Perincian 10 kes yang disyaki paling awal di setiap agensi perubatan dikategorikan pada dua peringkat atau lebih (tiga paling tinggi) serta kematian akibat radang paru-paru dengan gejala seperti COVID-19.

Surat itu juga menyatakan bahawa sembilan buah hospital yang menerima paling banyak pesakit COVID-19 di bandar itu adalah kunci kepada penyelidikan berkenaan.

Pihak The Epoch Times turut memiliki akses terhadap sebahagian catatan sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, yang berasal daripada 11 buah hospital.

Walaupun terdapat data yang dikumpulkan, pasukan petugas perubatan di Wuhan memberitahu media pada 26 Februari bahawa pesakit paling awal didokumentasikan adalah orang bernama Chen, yang jatuh sakit pada 8 Disember 2019.

Justeru adalah tidak jelas sama ada pihak berkuasa sudah melakukan siasatan mengenai kes awal sebelum Februari ataupun tidak.

Beberapa pengkritik berpendapat bahawa siasatan itu agak lambat dan tidak menyeluruh. “Untuk penyakit berkaitan pernafasan sebegini, mengapa mereka tidak mengesannya pada semua hospital lain?”.

“Ia sepatutnya telah dijalankan lebih awal lagi”, kata Sean Lin selaku bekas pengarah makmal (cawangan penyakit virus) di Institut Penyelidikan Tentera Darat Walter Reed. Beliau juga beranggapan bahawa siasatan yang tertangguh itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Pesakit yang disyaki dijangkiti virus

Rekod yang diperoleh menunjukkan terdapat sembilan kematian atas simptom yang sama seperti COVID-19 di tiga buah hospital.

Lima daripadanya menghidapi pneumonia yang teruk dan meninggal antara November dan Disember 2019 di Hospital No. 6 Wuhan – hospital yang disebut menerusi surat tersebut.

Manakala Hospital Perubatan Tradisional Cina di Wuhan mencatatkan tiga kematian pada bulan Oktober, sementara Hospital No. 8 Wuhan mencatatkan satu kematian.

Kesemua pesakit didapati meninggal dunia dalam jangka masa beberapa hari hingga empat minggu setelah gejala pertama mereka muncul.

Sebagai contoh, Xu Zhengqian yang dimasukkan ke Hopital No. 6 Wuhan. Pesakit berusia 82 tahun itu mula menunjukkan gejala pada 1 Oktober 2019 iaitu batuk dan kahak berwarna putih – petanda jangkitan pernafasan.

Xu kemudiannya dipindahkan ke kemudahan perubatan lain sebelum meninggal dunia pada 3 November 2019.

Tiga lagi pesakit di hospital yang sama turut mengalami masalah kesukaran untuk bernafas sebelum meninggal dunia. Hasil imbasan CT mendapati terdapat tanda yang kabur pada paru-paru mereka, di mana ia merupakan corak yang sepadan dengan kes COVID-19.

Fail itu juga mengenal pasti sekurang-kurangnya 40 pesakit COVID-19 lain di lapan hospital, paling awal adalah Xiao Niangui, 67 tahun – mula menunjukkan gejala pada 25 September 2019 dan dimasukkan ke Hospital Puren Jiang’an, Wuhan.

Menurut pegawai bandar, Wuhan mempunyai 205 buah kemudahan kesihatan yang tersedia untuk komuniti bersama sejumlah 66 hospital untuk merawat pesakit COVID-19.

Ketidaktelusan China telah dikritik hebat oleh pegawai pemerintah. Ia secara konsisten menolak kedatangan pakar dari Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengkaji wabak tersebut.

Pada 12 Februari, seorang pegawai Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS mengatakan bahawa agensi itu masih tidak dapat mengakses maklumat mengenai wabak itu secara langsung.

Dalam wawancara yang disiarkan pada 1 Mei lalu, wakil WHO di China juga mengatakan bahawa China telah mengecualikan pakar organisasi tersebut daripada penyelidikan virus negara berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular