Tiada apa yang lebih membahagiakan buat seseorang itu apabila akhirnya berjaya disatukan semula bersama keluarga tercinta selepas lama terpisah.

Itulah yang dialami oleh keluarga ini, di mana seorang bapa yang begitu teruja untuk bertemu kembali dengan isteri dan anak-anaknya, sanggup melakukan kejutan istimewa.

Ya, si bapa difahamkan sanggup menyamar sebagai mekanik penghawa dingin untuk memberi kejutan kepada tiga orang anak perempuannya yang telah terpisah sejak tujuh bulan lalu.

Video indah itu dikongsikan sendiri oleh si isteri, Massoezailin Saleh di laman Facebook miliknya.

Massoezailin Saleh/Facebook

Menurut Massoezailin, suaminya, Mohd Azaruddin Tukari yang bekerja di Singapura, tidak dapat pulang ke Malaysia ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Suami saya mahu melakukan kejutan buat anak-anak kerana mereka sudah lama tidak bertemu. Dia juga mahu menguji sama ada anak-anaknya masih mengenali bapa mereka atau tidak”.

Jelas wanita itu, kejutan itu sebenarnya sudah dirancangnya bersama suami semenjak mengetahui bahawa Azaruddin dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dalam video itu, dapat dilihat Azaruddin yang memakai pelitup muka sangat bersahaja dengan berlakon menjadi seorang mekanik penghawa dingin.

Massoezailin Saleh/Facebook

Dia juga sempat memberikan coklat buat ketiga-tiga anaknya. Sebelum itu juga, salah seorang anaknya sudah mula mengesyaki dirinya. “Macam papa”, kata anaknya itu.

Sehinggalah satu ketika di mana Azaruddin diberikan secawan air. Pelitup muka dibuka dan pada saat itulah anak-anaknya mula teruja apabila melihat bapa mereka berdiri di depan mata.

Mereka kemudiannya berpelukan dan ia ternyata cukup mengharukan!

Massoezailin Saleh/Facebook

Tujuh bulan bukanlah satu tempoh yang singkat. “Memang bukan senang sepanjang tempoh berjauhan. Terlalu banyak air mata yang jatuh”, tulis Massoezailin.

“Tapi semua ini ketentuan Allah. Seribu satu hikmah untuk kami”, tambahnya yang turut mendoakan agar sesiapa sahaja yang terpisah kerana virus ini akan disatukan segera.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular