Menyaksikan sendiri bagaimana warga emas yang sudah tidak berkemampuan untuk bekerja mencari rezeki semestinya adalah salah satu perkara yang sangat menyedihkan. Kita lazimnya akan tertanya-tanya sebab disebalik kesukaran yang dihadapi oleh mereka.

Begitulah yang dirasai oleh Carlos Valdez dan isterinya apabila mereka pertama kali bertemu dengan seorang penghantar pizza, Derlin Newey, 89, yang sudah lanjut usia tetapi masih bekerja sebagai penghantar pizza.

“Hello, adakah kamu mencari pizza?”

Carlos Valdez/TikTok

Ayat pertama daripada Derlin semasa pertemuan pertama mereka ini sememangnya telah membawa pasangan ini lebih jauh untuk membantu lelaki warga emas ini.

Mulai hari itu, setiap kali pasangan ini memesan pizza, mereka secara peribadi akan meminta Derlin untuk menghantar pesanan pizza berkenaan ke rumah mereka, kerana sejujurnya, mereka telah jatuh hati dengan Derlin yang sangat baik dan mesra dengan pelanggannya.

Tidak lama kemudian, pasangan ini mula merakam video TikTok ketika Derlin menghantar pesanan pizza ke rumah mereka. Dan, tanpa disangka-sangka, video yang dimuatnaik mendapat perhatian ramai warganet.

Carlos Valdez/TikTok

Ramai warganet, termasuklah Valdez dan keluarganya masih berasa hairan tentang sebab disebalik pekerjaan yang dilakukan oleh Derlin. Derlin sudah tua, tetapi masih bekerja keras pada setiap hari.

Rupa-rupanya, setelah disoal, Derlin memberitahu Valdez bahawa dia perlu bekerja selama 30 jam seminggu untuk menampung perbelanjaan hidupnya. Penerangan Derlin ini sememangnya telah menyentuh hati Valdez dan mereka telah memutuskan untuk membuat kutipan dana melalui internet bagi disumbangkan kepada Derlin.

Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, jumlah dana terkumpul daripada sumbangan orang ramai sememangnya sangat besar! Dalam masa yang singkat, mereka berjaya mendapatkan sebanyak $12,000 (RM 49,648.86) untuk diberikan kepada Derlin!

Carlos Valdez/TikTok

Hari yang dinanti-nantikan telahpun tiba. Kali ini, berlawanan daripada kebiasaan, Valdez dan isterinya pula yang datang ke rumah Derlin untuk menghantar ‘pesanan’.

Pertama sekali, mereka mengejutkan Derlin dengan sehelai kemeja T dengan lukisan karikatur Derlin yang memegang sekotak pizza. 

Carlos Valdez/TikTok

Dan kemudian, mereka mula menyerahkan wang dana yang terkumpul khas untuk Derlin.

“Bagaimana caranya untuk saya mengucapkan terima kasih? Saya tidak tahu untuk berkata apa,” luah Derlin sebak sebaik sahaja mengetahui tentang kutipan dana yang dilakukan oleh Valdez.

“Saya tidak tahu untuk berkata apa, kecuali terima kasih,” tambah Derlin lagi.

Valdez bagaimanapun menegaskan bahawa mereka hanyalah perantara, dan peminat-peminat Derlinlah yang sebenarnya melakukan segalanya untuk Derlin.

Carlos Valdez/TikTok

Tahniah, Derlin! Diharapkan sumbangan wang diterima dapat meringankan bebannya dan mungkin, ini adalah wang tip yang paling banyak yang pernah diterimanya sepanjang perkhidmatannya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular