KLANG – Seramai 118 pasangan pengantin menyerbu Pejabat Agama Islam Daerah Klang seawal jam 9 pagi pada 9 Oktober berikutan kebimbangan mereka akan arahan sekatan perjalanan yang diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Klang.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, meskipun dikerumuni bakal-bakal pengantin, pihaknya ternyata sudah melakukan persediaan awal bagi menghadapi situasi tersebut.

Facebook

“Alhamdulillah, 118 pasangan pengantin selamat mendirikan masjid. Mereka dinikahkan secara berperingkat oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor”.

Menurut Shahzihan, beliau telah mengarahkan semua pegawai di Klang untuk melakukan persediaan awal sebelum menghadapi situasi tersebut dan menetapkan agar upacara akad nikah kesemua pasangan diselesaikan sepenuhnya sebelum jam 12 tengah malam tadi.

“Kalau ada keperluan selepas ini, JAIS akan melaksanakannya. Bagaimanapun, JAIS jangkakan hari-hari berikutnya tidak akan jadi seperti malam tadi”.

Jelas Shahzihan lagi, bagi mempermudahkan urusan bakal pengantin, pihak JAIS telah bertindak membuka pejabat bukan sahaja pada hari bekerja tetapi juga pada Sabtu dan Ahad. 

“Bermula hari ini sehingga 23 Oktober, Mukim Klang berada dalam PKPB dan penangguhan aktiviti masjid dan surau di seluruh daerah Klang. Biasanya perkhidmatan diberikan mulai jam 8 pagi hingga 6 petang mengikut waktu pejabat tetapi dalam keadaan sekarang, keperluan akad nikah tertumpu ke pejabat agama Islam daerah. Jadi, JAIS akan bantu malah akan terima majlis akad nikah waktu bekerja”.

Facebook

Pada masa yang sama, seorang jurugambar perkahwinan yang dikenali sebagai Sheikh Ameer Haziq, 24 tahun berkongsi pengalamannya sewaktu mengendalikan sesi penggambaran di pejabat agama tersebut. Haziq menggambarkan situasi perkahwinan tersebut ibarat majlis graduasi yang dipenuhi oleh kedua bakal pengantin dan wali masing-masing.

“Lebih 40 pasangan ada ketika itu. Saya difahamkan setiap pengantin diberikan waktu tertentu untuk akad nikah. Contohnya pelanggan saya dinikahkan pada jam 9.30 malam”.

Katanya lagi, “Sepanjang enam tahun jadi jurugambar, ini kali pertama saya lihat suasana ini. Saya tidak menyangka begitu ramai pasangan seperti malam tadi. Saya juga difahamkan ada pasangan yang sepatutnya nikah pada minggu hadapan tetapi dipercepatkan kepada semalam”.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular