Kasih ibu ternyata tiada tandingannya. Walau terpaksa merentas onak duri sekalipun demi anak, sudah pasti insan bergelar ibu itu sanggup meredahnya.

Demi anak tersayang, Jumiati Masud yang berusia 53 tahun ini rela meredah perjalanan sejauh 50 kilometer dengan menunggang motosikal untuk menghantarnya anaknya ke menara gading.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, ibu cekal tersebut tetap bersungguh mahu menghantar anak sulungnya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan ke Universiti Sains Malaysia (USM).

USM

Keadaan mereka yang basah kuyup ketika tiba di USM dengan membawa beberapa barangan daripada rumah, ia ternyata mencuri tumpuan netizen.

Namun itu semua tidak penting buat ibu tersebut. Jumiati tetap bersyukur kerana masih boleh memberi keselesaan untuk anaknya menimba ilmu dalam suasana yang lebih kondusif.

Mereka yang tinggal di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan itu sudah maklum akan situasi semasa, di mana pihak USM memberikan tiga pilihan untuk para pelajar baru yang ingin mendaftar.

“Saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama. Biarlah Muhammad Izzul belajar dalam suasana yang terbaik. Di rumah, kemudahan internet tidak begitu baik. Kami tiada kemudahan wifi”.

USM

“Saya bersyukur kerana hasrat Muhammad Izzulhaq untuk melanjutkan pengajian ke USM dalam jurusan pendidikan dimakbulkan Allah”, ujar Jumiati.

Syukurlah Izzulhaq diterima untuk melanjutkan pengajian di universiti yang terletak di dalam negeri yang sama.

Ini kerana Izzulhaq juga pernah menerima tawaran daripada sebuah universiti di Kuala Lumpur namun ianya terpaksa ditolak ekoran masalah kewangan.

Dalam pada itu, remaja 19 tahun itu turut menzahirkan rasa terharu di atas pengorbanan ibunya dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular