PUTRAJAYA – Berikutan peningkatan kes COVID-19, individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani aktiviti saringan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) yang bermula 27 September lalu sehingga 10 Oktober, serta diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada 2 Oktober berkata, semua individu akan diberi surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperolehi.

Menurutnya, aktiviti saringan akan dijalankan apabila mereka baru tiba dari Sabah di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan Domestik.

Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19. Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.

“Mereka yang didapati negatif dan tidak bergejala, dan tidak terdedah kepada kes positif setelah menjalani ujian COVID-19 dinasihatkan untuk patuh meneruskan tempoh kuarantin sehingga lengkap 14 hari,” tegas Tan Sri Dr Noor Hisham.

Sebelum ini, beliau berkata saringan ke atas individu baik warganegara atau bukan warganegara yang pulang dari Sabah dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.

Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa.

Ia adalah berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum.

Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif baharu COVID-19 pada 5 Oktober dan tertinggi sejak wabak melanda negara iaitu sebanyak 432 kes (429 kes tempatan dan 3 kes import) dengan keseluruhan 2,336 kes aktif.

Daripada jumlah itu, 3 negeri mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 tertinggi ialah Kedah dengan 241 kes, Sabah 130 kes dan Selangor 34 kes.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular