KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah bercadang mengetatkan sekatan dalam negeri dengan menguatkuatkuasakan peraturan menurut SOP lebih tegas seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), untuk mengenakan larangan ke atas semua operasi perniagaan kecuali bagi sektor barangan dan perkhidmatan penting.

Keputusan dibuat berikutan peningkatan kes positif COVID-19 kepada 3 angka yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor dalam kenyataan media pada 5 Oktober berkata cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 (JKPBNS COVID-19) adalah tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan pelaksanaan dijangka berkuatkuasa serta-merta sehingga 16 Oktober 2020.

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk menutup semua sekolah, termasuk pusat jagaan kanak-kanak, taska dan tadika serta pasar raya, kecuali bagi premis perniagaan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan penting,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata sekiranya MKN memberikan persetujuan dan kelulusan akan cadangan JKPBNS ini, kerajaan negeri juga tidak membenarkan pelanggan makan di restoran, kedai makan dan gerai makan.

Manakala pasar tamu, pasar malam dan pasar tani juga tidak akan dibenarkan beroperasi.

Kenyataan media tersebut turut menyenaraikan rumah-rumah ibadah (masjid, surau, gereja, tokong dan lain-lain), juga perpustakaan, taman awam dan pusat rekreasi yang akan ditutup serta-merta.

Sementara bas awam henti-henti akan beroperasi dengan 50% kapasiti sebenar, sementara kenderaan persendirian akan dihadkan kepada dua orang sahaja pada satu masa.

“Kerajaan negeri berharap perkara-perkara ini akan dipersetujui dan diluluskan oleh MKN, dan (sekiranya diluluskan) pelaksanaan akan berkuatkuasa serta merta hingga 16 Oktober 2020 dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” demikian kenyataan Ketua Menteri Sabah.

Sabah mencatat bilangan kes COVID-19 yang semakin serius sejak 1 Oktober, dengan 1,206 pesakit kini sedang dirawat di hospital di Sabah ketika ini.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dalam kenyataannya pada 5 Oktober bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan akan mula berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam 7 Oktober 2020 (Rabu), setelah mendengar situasi semasa COVID-19 di seluruh Sabah yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan dan cadangan kerajaan Sabah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular