PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengesahkan beliau kini positif COVID-19 selepas melakukan ujian saringan kedua Rabu lalu.

Laporan mengenai ahli politik UMNO yang positif untuk COVID-19 itu juga telah disahkan oleh The Malaysian Insight, yang mengatakan bahawa dia telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Dr Ahmad Masrizal dimasukkan ke hospital pada petang Khamis, 1 Oktober, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Yusof Mat Isa/Malay Mail

Beliau dikatakan telah berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 26 September lalu. Beliau juga dilaporkan telah menghadiri acara pada 25 September di pantai Tanjung Lipat di Kota Kinabalu.

Ahmad Masrizal mengatakan bahawa ujian COVID-19 pertamanya yang dilakukan semasa tiba di lapangan terbang adalah negatif.

“Saya memutuskan untuk menjalani ujian lain pada hari Rabu lalu sebelum kembali ke pejabat pada hari Isnin. Saya positif selepas ujian kedua, walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.

“Alhamdulillah, saya berasa sihat tanpa mengalami demam dan batuk,” katanya lagi.

Kes COVID-19 telah melonjak setelah berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Sabah minggu lalu.

Pada hari Jumaat, 2 Oktober, Malaysia mencatatkan jumlah kes COVID-19 tertinggi dalam sehari iaitu sebanyak 287 kes. Sebelum itu, jumlah kes COVID-19 tertinggi yang dicatat dalam sehari adalah 277 pada 4 Jun.

Semalam (Jumaat), Kedah melaporkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 129 kes, diikuti Sabah sebanyak 113 kes dan Selangor pula melaporkan 31 kes.

Sebelum itu, seorang guru di SK Permatang Janggus di Pulau Pinang didapati positif COVID-19. Wanita berusia 40-an tersebut adalah isteri kepada ahli politik dari Kedah dan suaminya baru-baru ini pergi ke Sabah berkempen bagi pilihan raya negeri.

Ekoran peningkatan jumlah kes, Zahid Hamidi meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Presiden UMNO  itu juga menasihatkan anggota dan jentera BN yang berada di pilihan raya Sabah untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Jagalah diri dan berdoalah agar Allah menyembuhkan wabak ini,” katanya lagi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular