CHINA – Kira-kira 5,000 ekor bangkai haiwan peliharaan telah ditemui di dalam bungkusan kotak di stesen logistik Dongxing di Wilayah Henan.

Bangkai berkenaan termasuklah ribuan ekor anjing, kucing, arnab dan juga hamster di dalam kotak-kotak kecil.

Laporan menunjukkan haiwan-haiwan tersebut yang diangkut di dalam sangkar plastik dan besi lalu ditutup dengan kotak itu mati ekoran lemas, lapar dan dahaga.

Wakil anggota sebuah organisasi penyelamat haiwan, Wutuobang iaitu Dan memberitahu bahawa seramai 20 orang anggota dikejarkan untuk kerja penyelamatan pada 22 September.

Weibo

Menurut laporan media tempatan, sebanyak 1,074 ekor haiwan sempat diselamatkan – 877 ekor arnab, 99 ekor hamster, 70 ekor anjing dan 28 ekor kucing.

Sukarelawan yang tiba di lokasi kejadian turut bersedia dengan bekalan makanan haiwan serta vaksinasi untuk haiwan berkenaan.

Sebilangan haiwan yang terselamat difahamkan telah diadopsi, yang kemudiannya telah dibawa ke klinik haiwan untuk menerima rawatan.

Dan untuk 5,000 ekor bangkai haiwan yang tidak dapat diselamatkan itu, laporan mendedahkan bahawa kesemua bangkai itu telah ditanam di sebuah ladang.

Weibo

Bungkusan kotak haiwan peliharaan tersebut difahamkan berasal daripada sebuah ladang pembiakan haiwan peliharaan.

Laporan mendedahkan bahawa ladang yang terletak di wilayah Anhui dan Jiangsu itu menjual haiwan kepada pembeli yang membeli secara dalam talian.

Kesemua haiwan yang dijual itu terpaksa dipos dari kawasan Timur China hingga ke bandar Zhengzhou, bahagian tengah China sebelum dihantar ke stesen logistik Dongxing, bandar Luohe.

Pekerja syarikat penghantaran Yunda berkata bahawa syarikat tersebut sememangnya membenarkan penghantaran haiwan hidup di dalam kotak yang dilubangkan.

Weibo

Sementara itu, sumber mengatakan bahawa ladang pembiakan tersebut membayar caj yang tinggi kepada Yunda bagi membolehkan penghantaran haiwan hidup dibuat.

Ini kerana penghantaran sedemikian sebenarnya tidak dibenarkan di China namun tiada undang-undang berkaitan dengannya digunakan.

Pihak berkuasa tempatan kini sedang dalam usaha untuk menyiasat insiden ini dengan lebih lanjut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular