Menjadi kebiasaan kebanyakan orang di Malaysia apabila terus membuang sisa minyak masak dan lemak tepu dengan mencurahkannya terus ke dalam longkang atau parit seterusnya ke sistem pembetung. Selesai setiap kali memasak, bagaimana anda menguruskan sisa minyak masak yang tidak lagi boleh digunakan yang didapati dari dalam kuali, periuk dan pinggan? 

Sembilan puluh peratus kalangan anda akan berkata telah mencurahkannya ke dalam sinki dapur selepas membersihkan peralatan memasak. Tetapi, tahukah anda, sedikit sahaja minyak ini memasuki sistem pembetung, akan membuat anda terasa geli untuk melihat?

Pixabay /Gambar Hiasan

Sisa minyak, lemak dan gris tidak sepatutnya dibenarkan memasuki sistem pembetungan, terus ke dalam longkang dan parit, kerana pada akhirnya ia mampu memudaratkan anda dan kesemua orang dalam komuniti anda. Lihat bagaimana jijiknya apabila membuang sikit-sikit menjadi bukit kesemua sisa minyak masak ini.

Tindakan kecil membuang sisa minyak secara perlahan-lahan akan mengakibatkan kesan buruk seperti berikut:

#1. Pembentukan ‘fatberg’ dalam saluran pembetung meloyakan tekak.

Jangan kata anak-anak, anda sendiri apabila melihatnya semasa makan, akan berasa loya mahu termuntah.

Memudahkan kata, dalam pembetung ada ‘sisa minyak dan gris + pembetung = gunung lemak (fatberg)’ yang tidak terdedah kepada cahaya matahari sepanjang tahun tambahan dalam gelap dan lembap. Tempat di mana bakteria dapat berkembang biak dengan baik. Anda tidak perlu mencium kerana sudah dapat membayangkan betapa busuk baunya. 

Di dalam pembetung, bukan sahaja terdapat minyak yang dibuang dari dapur, tetapi juga cecair pencuci pinggan, pencuci pakaian, pembasmi kuman, syampu, gumpalan rambut dan sebagainya.

Apabila sisa minyak masak memasuki pembetung, ia akan mengalami perubahan kualitatif. Minyak akan bercampur dengan bahan pepejal yang tidak boleh urai seperti tisu basah dan serat kain, lampin pakai buang, tuala wanita dan sebagainya yang mana akan termampat menjadi pepejal keras. Inilah yang dipanggil gabungan pepejal lemak ‘fatberg’ atau gunung lemak.

Gunung lemak yang tidak akan hilang dengan sendirinya, tetapi akan terus membesar menjadi gabungan pepejal bercampur lemak sedikit demi sedikit yang akhirnya menyebabkan saluran pembetung tersumbat.

Anda mungkin merasakan bahawa ‘apa sangat dan bukan perkara besar kerana seseorang akan membersihkan pembetung tersumbat . Apa yang anda tidak tahu dan ia sudah pasti akan membuat anda berasa bimbang ialah ‘fatberg’ yang terkumpul menjadi blok beku ini beracun dan ia berada di dalam pembetung anda. Adakah anda masih berfikir ia tidak memberi kesan sekarang?

#2. Bakteria toksik berada di sekeliling anda.

Banyak kajian di luar negara mendapati ‘fatberg’ mempunyai bakteria berbahaya dan mudah berjangkit yang akan membuat seseorang jatuh sakit, seperti Campylobacter dan Listeria. Campylobacter adalah penyebab gastroenteritis yang paling biasa, manakala Listeria menyebabkan gejala seperti demam, sakit otot, mual, dan cirit-birit, juga gejala lebih teruk seperti sakit kepala, ketidakseimbangan badan serta kekejangan leher, tangan dan kaki.

Menurut pakar asing, bakteria ini bukan hanya menimbulkan bahaya secara langsung kepada pekerja yang bekerja di syarikat pembetungan, bahkan turut mengancam kesihatan penduduk setempat ketika pembetung di kawasan itu terus tersumbat.

Facebook

#3. Pembetung tersumbat dan paip pecah yang mencemarkan air bersih.

Tindakan mudah menuang sisa minyak ke dalam pembetung sebenarnya merosakkan paip air bawah tanah dan juga menyebabkan saluran pembetungan tersumbat. 

Lama kelamaan, paip air yang tersumbat dan kemudian pecah akan menyebabkan sisa kumbahan melimpah ke jalan raya, saliran, dan juga kediaman anda yang berdekatan, menyebabkan banjir kilat dan pencemaran air yang akan memudaratkan kesihatan. 

Limpahan dari pembetung yang disebabkan oleh masalah sisa pepejal yang tersumbat, sekurang-kurangnya disumbangkan oleh sisa minyak sebanyak 50%.

Bagaimana menangani pembuangan sisa minyak masak dan gris.

1.Kikis lebihan minyak masak dari periuk dan pinggan, atau lap lebihan minyak pada periuk dan pinggan dengan kain lap dapur. 

2. Lebihan sisa minyak masak boleh dimasukkan ke dalam botol.

3. Sisa minyak masak boleh dikitar semula dan anda boleh menukarnya menjadi wang tunai. Malaysia mempunyai syarikat kitar semula profesional yang boleh memulihkan semula sisa minyak.

Jangan berfikir bahawa tindakan kecil anda tidak berguna. Sekiranya setiap orang menuang minyak yang sangat kurang, maka dunia bawah tanah akan menjadi lebih bersih dan bekalan air bersih mampu mencerahkan masa depan kita semua.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular