Satu kemalangan berlaku di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di Melaka selepas seekor lembu yang melintasi jalan berkenaan pada jam 7 pagi 28 September lalu telah dilanggar oleh sebuah ambulans yang membawa pesakit berusia 40 tahun.

Pemandu dan penumpang ambulans berkenaan yang sedang dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Sungai Rambai ke Hospital Melaka bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan sementara lembu yang dirempuh telah mati.

Berikutan rempuhan yang agak kuat itu, kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan dalam keadaan remuk teruk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dalam satu kenyataannya berhubung insiden ini mengesahkan kejadian ini dan memaklumkan bahawa kemalangan itu melibatkan seorang pemandu, seorang pesakit dan seorang Penolong Pegawai Perubatan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami sakit di lutut kiri manakala pesakit dan Penolong Pegawai Perubatan dilaporkan tidak cedera. Haiwan ternakan itu mati,” katanya.

Susulan kemalangan ini, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman memberi peringatan kepada pemilik dan penternak haiwan untuk lebih bertanggungjawab.

“Saya meminta penternak lembu supaya tidak melepaskan haiwan di kawasan luar dari kandang kerana keadaan itu boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Pihak berkuasa bukan saja boleh mengenakan kompaun malah sitaan ke atas haiwan juga akan diambil,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular