Gara-gara menyamar menjadi seorang doktor, pihak polis Hyderabad, India telah menahan Veeragandham Teja awal September lalu.

Teja sebelum ini yang bekerjasama dengan polis terutamanya ketika proses saringan dan merawat pesakit COVID-19, ditangkap setelah polis menerima laporan daripada isteri keduanya.

Walau bagaimanapun, isteri kedua yang dikahwininya pada Julai lalu hanya mengadu akan penipuan Teja yang menyembunyikan perkahwinan pertamanya.

Selain daripada itu, wanita itu juga mendakwa suaminya turut melakukan gangguan fizikal dan mental terhadapnya.

Alangkah terkejutnya apabila siasatan lanjut dilakukan oleh pihak polis berjaya mengetahui satu persatu pembohongan Teja.

Semua mengenainya adalah palsu – nama, usia, kelayakan pendidikan dan pengalaman kerja. Namun dia telah menjalani latihan sebagai doktor selama empat tahun di beberapa bandar.

Dia menyamar dengan menggunakan nama Dr. YS Teja sedangkan nama sebenarnya adalah Veeragandham Teja.

Dia juga mendakwa dirinya berusia 23 tahun tetapi mempunyai pengalaman kerja sebagai doktor sekurang-kurangnya di 16 buah hospital swasta.

Indian Times

Malah, ijazah sarjana muda perubatan yang dimilikinya adalah palsu bahkan dia juga tidak menamatkan persekolahan dan hanya belajar setakat darjah lima.

Teja melarikan diri daripada rumahnya pada tahun 2005 dan kemudian hanya menjual snek di stesen kereta api bagi menyara dirinya. Sewaktu itu, dia berjumpa dengan doktor, YS Purushotham Reddy.

Dengan bantuan Reddy, Teja berjaya mendapatkan lesen memandu, kad mengundi dan beberapa kad dengan menggunakan alamat rumah Reddy.

Teja kemudian berjaya memiliki beberapa sijil pendidikan termasuklah ijazah sarjana muda, di mana JN Medical College di Raipur menjadi tempat dia menjalani praktikal.

Selepas itu, dia ke Bangalore dan bekerja sebagai Pegawai Perubatan Daerah di Hospital Spathagiri untuk beberapa ketika.

Dia kemudian berpindah ke Hyderabad dan bekerja di beberapa hospital pakar terkemuka sejak Februari 2020 menggunakan sijil MBBS palsunya.

Menurut pihak polis, ini bukanlah kali pertama Teja ditangkap ekoran menipu. Pada tahun 2016, dia ditangkap oleh polis Bangalore kerana menyamar sebagai pegawai polis.

Dia turut menggunakan kenderaan rasmi pegawai kerajaan dengan mengaku dirinya adalah anak kepada pegawai kanan polis.

Teja bahkan pernah juga memperkenalkan dirinya sebagai saudara kepada ketua menteri Andhra Pradesh, YS Jagan Mohan Reddy.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular