Tidak semua orang di dunia ini cukup bertuah untuk mempunyai hidangan yang lengkap di atas meja makan pada setiap hari.

Ada antaranya yang terpaksa berkira-kira untuk membelanjakan wang yang ada agar semua anggota keluarga mendapat makanan pada setiap hari.

Begitulah yang berlaku kepada Helen Johnson yang menetap di Tarrant, Alabama apabila wanita berusia 47 tahun itu ditangkap oleh pekerja pasaraya kerana didapati mencuri lima biji telur.

AL.com

Menurut perkongsian laman AL.com, wanita yang tinggal bersama dua orang anak perempuan, seorang sepupu dan dua orang cucu itu sebelumnya sudah dua hari terputus bekalan makanan. Bagaimanapun, selepas kehilangan cek bantuan bernilai $120 (RM 493.80) dalam peti surat, wanita itu memutuskan untuk pergi membeli lima biji telur di pasaraya terdekat dengan membawa wang tunai berjumlah $1.25 (RM 5.14).

Walau bagaimanapun, malang buatnya apabila wang tunai yang dibawanya pada waktu itu tidak mencukupi untuk membeli telur itu. Walaupun hanya kekurangan sebanyak 50 sen dari harga jualan, namun Johnson tetap tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

AL.com

Jadi, Johnson memutuskan untuk cuba untuk mencuri telur itu dengan memasukkannya di dalam poket jaketnya.

“Pastinya apabila saya meletakkannya di dalam poket jaket, poket itu bocor,” kata Johnson menceritakan kisahnya.

“Saya langsung bukan pencuri yang bagus,” tambahnya.

Tetapi, yang menjadikan kisah ini lebih mengharukan adalah apabila seorang anggota polis yang dipanggil oleh pihak pasaraya, William Stacy, tiba di lokasi kejadian, dia meminta Johnson untuk kekal berada di situ.

AL.com

Dan tidak lama kemudian, Stacy datang semula kepada Johnson dan membawa satu karton telur yang mahu dibeli oleh Johnson.

“Johnson mula menangis, dia menjadi sangat emosional dan tidak berhenti meminta maaf,” kata Stacy.

“Johnson cuba memberi wang yang ada padanya, $1.25.”

Rupa-rupanya, tanpa Johnson ketahui, Stacy telah pergi menemui pihak pengurusan pasaraya dan mereka bersepakat untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang kepada wanita malang itu.

Tambahan pula, Stacy juga mengakui bahawa dia masih mengingati keadaaan rumah Johnson yang sangat usang ketika dia melakukan rondaan pada suatu ketika dahulu.

AL.com

“Penerangan yang diberikan oleh Johnson sesuai dengan keadaan yang berlaku ketika saya berada di sana (di rumah Johnson),” kata Stacy.

“Saya rasa ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Saya tidak mahu menghakiminya.”

AL.com

Selain itu, Stacy juga menambah bahawa dia berharap agar Johnson tidak akan melakukan perkara terkutuk itu lagi. “Saya mendoakan agar Johnson tidak akan melakukannya lagi, dan saya fikir dia tidak akan melakukannya lagi.”

Selepas kejadian itu, hidup Johnson mula berubah apabila banyak bantuan makanan mula sampai ke muka pintu rumahnya.

AL.com

“Kali terakhir saya melihat rumah saya penuh (dengan makanan) sebegini, saya berusia 12 tahun dan tinggal bersama nenek saya,” luah Johnson terharu dengan segala bantuan yang diterimanya selepas episod sedih dalam hidupnya berlalu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular