KUALA LUMPUR: Seorang wanita berdepan detik maut apabila kenderaan yang dipandunya secara tiba-tiba dihempap oleh sebuah bongkah konkrit binaan di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada petang Sabtu (19 September 2020).

Menurut laporan Astro Awani, insiden berkenaan berlaku ketika mangsa sedang melalui kawasan pembinaan lebuhraya berkenaan di Lebuhraya MRR2 berhampiran stesen minyak Shell, Bandar Tasik Selatan dari Sungai Besi menghala ke Ampang.

Insiden yang mengejutkan itu telah meremukkan kenderaan Proton Saga BLM mangsa yang berusia 25 tahun itu dan orang ramai dilaporkan sama-sama membantu wanita berkenaan untuk keluar dari terperangkap dalam kenderaannya selepas insiden berlaku.

Menurut Ketua Asisten Komisioner (ACP) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Zulkefly Yahya dalam laporan oleh The Star, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Di samping itu, beliau turut mengesahkan bahawa tiada mangsa atau kenderaan lain yang turut terlibat dalam insiden itu dan pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca insiden itu dengan lebih lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi oleh Astro Awani pula, mangsa didapati mengalami kecederaan di tangan kiri dan kini berada di Zon Kuning di HUKM.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular