Bagi mereka yang merancang untuk bercuti ke Cameron Highlands, pasti berasa tidak sabar untuk berangkat ke destinasi percutian terkenal itu, untuk menikmati pemandangan ladang teh, sayur-sayuran dan buah-buahan yang indah sambil menghirup udara dingin yang segar. 

Namun, umum mungkin menjadi gusar, bimbang, resah atau terus tawar hati untuk ke sana setelah melihat banyak kejadian cerun runtuh di beberapa jalan sama ada melalui laluan Simpang Pulai atau laluan lama dari Tapah.

Beberapa gambar terbaru yang di muat naik di Facebook menunjukkan hakisan tanah berskala besar telah berlaku di lokasi perhentian popular laluan FT 185 Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Menerusi perkongsian pengguna Facebook tersebut, Mohmad Radzi Hj Ismail yang mengambil beberapa gambar berkenaan melalui drone, beliau memberi peringatan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak berhenti di lokasi yang dimaksudkan untuk mengambil gambar.

Bersama gambar-gambar yang dimuat naik baru-baru ini, Mohmad Radzi menasihatkan pengguna jalan tersebut dengan menulis, “Kalau ke Cameron Highlands, jangan berhenti di sini untuk bergambar ye… Malang tidak berbau.”

Gambar-gambar tersebut telah mengundang kegusaran netizen dan orang ramai yang turut memaparkan gambar lama yang menunjukkan perbezaan cerun di laluan popular tersebut pada tahun 2014 dan terkini pada tahun 2020 yang telah runtuh dalam keadaan bahaya dan membimbangkan.

Oleh kerana kejadian hakisan cerun dan tanah runtuh tersebut dilihat agak membahayakan, ia telah menjadi perbincangan hangat para netizen yang rata-rata menyatakan kebimbangan, dan ada yang menasihatkan supaya tidak melalui laluan tersebut, sebaliknya melalui jalan lama dari Tapah sekiranya mahu juga ke Cameron Highlands.

Ekoran gambar tersebut yang menjadi tular, kerajaan negeri Perak telah tampil menjelaskan dalam satu sidang media dengan memberi jaminan bahawa laluan tersebut sebenarnya adalah selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata gambar cerun runtuh di laluan itu adalah gambar lama yang menjadi tular.

Katanya, keadaan tidak seteruk seperti yang ditularkan, kerana runtuhan itu berlaku di cerun tambakan yang merupakan cerun tanah.

“Kerja-kerja penambahbaikan cerun sudahpun dijalankan iaitu membabitkan kerja-kerja ‘tie back wall’ dan ‘micropile slab’ di sebahagian kawasan runtuhan itu. Pemeriksaan lanjut juga mendapati jalan tidak mengalami sebarang mendapan atau keretakan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa membuat pemantauan pergerakan tanah setiap 3 jam sekali di kawasan-kawasan yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh.

Walau bagaimanapun, beliau menasihati pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut supaya tidak memberhentikan kenderaan untuk parkir, mengambil gambar, berehat dan sebagainya kerana ia bukan lokasi perhentian yang dibenarkan untuk tujuan berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular