Peneraju utama TikTok di Amerika Syarikat membuat kenyataan bahawa platform itu ‘tidak merancang untuk pergi ke mana-mana’ setelah Presiden Donald Trump mengumumkan pentadbirannya merancang untuk melarang penggunaan aplikasi dari China itu pada 31 Julai.

“Pihak kami telah mendengar sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada anda, dan kami ingin mengucapkan terima kasih. Kami merancang untuk tidak pergi ke mana-mana,” kata Pengurus Besar TikTok Amerika Syarikat, Vanessa Pappas dalam satu pesanan video pada 1 Ogos.

Pappas menekankan bagaimana syarikat itu yang dimiliki oleh ByteDance yang berpangkalan di China mempunyai 1,500 pekerja di Amerika Syarikat dan TikTok merancang untuk menggaji 10,000 pekerja dalam masa tiga tahun akan datang.

Jerod Harris /Getty Images

“Dalam hal keselamatan dan sekuriti, kami membina aplikasi paling selamat kerana kami tahu itu adalah tindakan tepat yang perlu dilakukan. Oleh itu, kami menghargai sokongan semua kerana kami mahu berada di sini untuk jangka masa panjang dan terus berkongsi suara anda di sini dan ayuh kita menyokong TikTok,” tambah Pappas.

Presiden Trump menyatakan kepada wartawan Air Force One bahawa beliau akan menandatangani perintah eksekutif seawal 1 Ogos untuk melarang penggunaan TikTok di Amerika Syarikat.

Pakar siber memberi amaran bahawa aplikasi itu berfungsi sebagai perisian intipan untuk rejim Komunis China dan Dewan Perwakilan memutuskan pada bulan lalu untuk melarang aplikasi TikTok daripada semua peranti yang diluluskan oleh kerajaan. Beberapa syarikat dan kumpulan, termasuk Wells Fargo, telah memberi amaran kepada semua pekerjanya agar tidak menggunakan aplikasi tersebut atau mengeluarkan perintah untuk membuang secara wajib dari peranti mereka.

Unsplash/Gambar Hiasan

“Apa yang harus difahami oleh rakyat Amerika adalah semua data yang masuk ke dalam aplikasi mudah alih yang sangat disukai kanak-kanak itu dan amat mudah digunakan, akan terus memasuki ke dalam pelayan di China, tepat terus diterima pangkalan data tentera Parti Komunis China, dan agensi yang ingin mencuri harta intelek kami,” kata penasihat Rumah Putih, Peter Navarro dalam wawancara bersama Fox News pada bulan lalu.

Parti Komunis China (PKC) yang memerintah China telah melakukan sebilangan besar pelanggaran hak asasi manusia sejak mereka berkuasa pada tahun 1949, termasuk pengambilan organ secara paksa daripada golongan minoriti beragama dan mengamalkan kepercayaan. PKC dipercayai menahan lebih daripada satu juta etnik Uyghur di kem tahanan dan pendidikan semula. Uyghur adalah etnik minoriti yang tanahnya diambil alih oleh Komunis China pada tahun 1949.

Dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan pada 31 Julai setelah pengumuman Presiden Trump, TikTok berkata lebih daripada 100 juta warga Amerika Syarikat menggunakan aplikasi itu untuk tujuan ‘hiburan dan berhubung’ terutama semasa pandemik COVID-19.

Unsplash/Gambar Hiasan

“Data pengguna TikTok Amerika Syarikat disimpan di Amerika Syarikat dengan kawalan ketat terhadap akses pekerja. Pelabur terbesar TikTok berasal dari Amerika Syarikat. Kami komited untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna, dengan terus berusaha untuk memberikan kegembiraan kepada keluarga dan kerjaya yang bermakna kepada mereka yang mencipta platform kami,” kata seorang jurucakap TikTok kepada media.

Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika Syarikat adalah antara kumpulan dan individu yang menentang larangan tersebut.

“Melarang aplikasi seperti TikTok, yang mana jutaan warga Amerika Syarikat gunakan untuk berkomunikasi antara satu sama lain adalah satu bentuk ancaman kepada kebebasan bersuara dan tidak praktikal dari segi teknologi,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular