Adakah anda masih berhubung dengan rakan sekolah anda dan sering bertanya khabar? Waktu yang diluangkan bersama ketika di bangku sekolah dengan waktu setiap individu sudah mula melebarkan sayap untuk membina kehidupan sendiri pastinya berkurangan.

Pasti masing-masing sudah mula mengikuti haluan hidup masing-masing dan sudah jarang untuk berjumpa kecuali pada waktu-waktu tertentu seperti perayaan.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan tiga gadis dari Filipina ini yang kekal berkawan rapat sehingga menamatkan pelajaran di menara gading.

Ching Macarubbo/Facebook

Menakjubkan, ketiga-tiga gadis ini menamatkan pendidikan di peringkat tertier di sekolah perubatan dan dalam bidang yang sama! Malah, mereka turut memperolehi keputusan yang cemerlang dan sama-sama bergraduasi selepas 9 tahun menempuhi onak dan liku kehidupan sebagai pelajar perubatan.

Ching Macarubbo/Facebook

Kisah ini telah dikongsikan sendiri oleh salah seorang daripada mereka iaitu Dr. Joieanna Marie Macarubbo. Dalam perkongsian tersebut, beliau menceritakan kisah pertemuan bersama dua lagi doktor lain iaitu Marie Clare Perez dan Jovine Martin ketika menuntut di sekolah tinggi.

Ketika menamatkan persekolahan pada tahun 2011, ketiga-tiga doktor ini telah mengambil gambar di bawah sebagai tanda peringatan kepada impian mereka. 

Ching Macarubbo/Facebook

Menurut Dr. Joieanna, beliau langsung tidak menyangka akan bergraduasi bersama dua rakan baiknya itu.

Apatah lagi apabila ketiga-tiga mereka tidak pernah membincangkan mengenai perancangan untuk memasuki sekolah perubatan yang sama.

Ching Macarubbo/Facebook

“Kami bertiga telah melalui pelbagai halangan sepanjang 9 tahun. Kami pernah gagal, menangis hampir setiap malam, keletihan dan tidak cukup rehat terutamanya ketika tempoh latihan. Namun, kami tidak pernah memilih untuk mengalah”.

Tambah Dr. Joieanna, “Kini, 9 tahun kemudian, kami di sini, mengecapi kejayaan impian kami”.

Ching Macarubbo/Facebook

9 tahun menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan di Filipina bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang. Seseorang yang ingin bergelar doktor terlebih dahulu perlu mengambil pra ijazah perubatan selama tiga tahun.

Selepas itu, pelajar perubatan perlu mengikuti program M.D selama empat tahun. Selepas tempoh tujuh tahun menuntut dalam bidang perubatan, mereka perlu mengambil peperiksaan lesen perubatan.

Sememangnya satu proses yang cukup mencabar mental dan fizikal. Itulah pengorbanan yang perlu dilalui oleh setiap insan yang ingin mencapai impian kerjaya sebagai seorang doktor. Semoga ketiga-tiga doktor ini akan terus berjaya dan membantu menyelamatkan nyawa orang ramai.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular