Bagi membendung penularan COVID-19, sebanyak 73 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kubang Pasu telah diarah tutup bermula 29 Julai.

Pengarah Kemas Kedah, Noor Azman Abd Rahman berkata, penutupan itu dilakukan berikutan kluster baru Sivagangga yang berlaku di daerah terbabit sekali gus sebagai langkah awal pencegahan jangkitan COVID-19.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,605 murid tabika dan 62 murid taska Kemas terbabit dengan penutupan ini. Semua premis akan ditutup selama 14 hari sehingga kami menerima arahan dan nasihat selanjutnya daripada Pejabat Kesihatan negeri,” katanya.

Facebook/Gambar Hiasan

Noor Azman berkata, pelajar yang hadir ke tadika dan taska pada 29 Julai dibenarkan pulang awal ke rumah masing-masing.

Katanya, penutupan sementara itu dilakukan untuk membolehkan proses pembersihan dan nyah kuman yang wajib dilakukan di semua tadika dan taska mengikut prosedur operasi standard (SOP)

“Antara tabika yang ditutup termasuk Tabika Kemas Kampung Natoi, Pekan Jitra, Kampung Bemban dan Kampung Tebing yang dikhuatiri mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster Sivagangga,” jelasnya.

“Kontak rapat itu membabitkan waris murid yang disaring berhubung kluster berkenaan iaitu dari sebuah kedai makan di Napoh dalam tempoh 13 Julai hingga 24 Julai lalu,” katanya.

Katanya, Tabika Kemas Kampung Tebing terletak paling hampir dengan kedai makan terbabit iaitu hanya kira-kira 500 meter.

@KKMPutrajaya/Twitter

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pada 28 Julai terdapat kluster baru telah dikenal pasti di Kedah iaitu Kluster PUI Sivagangga, India.

Ia membabitkan seorang pemilik kedai nasi kandar dan empat kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja premis terbabit.

Premis itu sudah ditutup untuk menjalani proses pembersihan dan nyah kuman.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular