KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. 

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC dihadapi tertuduh,” kata Hakim Mohd Nazlan.

MOHD RASFAN/AFP via Getty Images

“Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan,” beliau memutuskan.

Susulan keputusan hakim itu, peguam bela tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon penangguhan bagi prosiding untuk rayuan sebelum hukuman dijatuhkan pada Isnin depan.

Namun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang mengetuai pendakwaan, dengan berhujah penangguhan hanya diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan.

Susulan pertikaian isu berkenaan, prosiding ditangguhkan oleh hakim pada sebelah petang bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah masing-masing.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim menolak permohonan Najib supaya rayuan bagi meringankan hukuman dan hukuman terhadapnya ditangguhkan dan didengar pada tarikh lain.

Hakim Mohd Nazlan mengarahkan Muhammad Shafee meneruskan rayuannya.

Dalam rayuannya untuk mendapatkan hukuman ringan ke atas Najib, Muhammad Shafee antara lain menyifatkan bekas Perdana Menteri itu menjadi mangsa tindakan bermotifkan politik.

Katanya, sebahagian besar wang berkenaan atau 99.9 peratus, tidak digunakan tertuduh bagi kepentingan peribadinya, sebaliknya bagi tujuan tanggungjawab sosial, kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, hanya 0.1 peratus digunakan bagi tujuan peribadi iaitu membaiki sebahagian daripada kediaman di Jalan Langgak Duta.

FAZRY ISMAIL/POOL/AFP via Getty Images

Muhammad Shafee berkata, Najib tidak mengetahui pemilik akuan penderma menyalurkan AS$681 juta ke dalam akaunnya.

Katanya, Najib memberi kerjasama kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sepanjang tempoh siasatan kes itu.

“Apa yang penting adalah dalam semua siasatan tidak pernah sesekali ada aduan mengenai saksi yang diganggu,” katanya.

Sementara itu, V Sithambaram dalam hujahnya, berkata hukuman sewajarnya ke atas Najib membuktikan semua orang adalah sama dan tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang di negara ini.

“Penyelewengan wang SRC International mencalar imej negara dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya menerima kesan daripada itu. Ini adalah pertama kali Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa dan disabitkan di mahkamah. Oleh itu hukuman yang diberikan mesti menunjukkan graviti kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Datuk Seri Najib yang turut merayu dari dalam kandang tertuduh, mendakwa tidak mengetahui jumlah wang yang dimaksudkan dalam pertuduhan dikenakan terhadapnya itu.

“Sebagai orang Islam, saya tidak meminta, saya tidak merancang atau saya ditawarkan RM42 juta itu. Saya bersaksi kepada Allah, saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu. Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun, negara mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.

Dalam tempoh itu juga, katanya, pasaran saham mencapai kedudukan paras tertinggi dan berlaku pembangunan pesat melalui pengangkutan serta perumahan awam dalam skala besar.

Selepas mendengar hujah rayuan kesemua pihak, Hakim Mohd Nazlan memutuskan dengan memerintahkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga pertuduhan pecah amanah.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara sekiranya gagal membayarnya bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Walaupun hukuman penjara berjumlah 72 tahun kesemuanya, namun hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, yang bermakna Datuk Seri Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Datuk Seri Najib yang merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam dari tahun 2009 hingga 2018, menjadi Perdana Menteri pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah dan didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

FAZRY ISMAIL/POOL/AFP via Getty Images

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri ke atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan tarikh 28 Julai untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular