Bukit Bintang termasuk salah satu kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur sememangnya terkenal menjadi tempat tumpuan orang ramai di kalangan warga tempatan dan juga warga asing sama ada ketika menjalankan aktiviti ekonomi mahupun semata-mata bagi tujuan pelancongan.

Para pelancong diingatkan supaya berhati-hati ketika berada di kawasan ini dengan menjaga wang atau barangan peribadi berharga milik mereka berikutan beberapa kes jenayah membabitkan penipuan, ragut dan seluk saku pernah dilaporkan di kawasan ini, yang pelakunya membabitkan bukan warga tempatan tetapi warga asing.

Seorang netizen bernama Jin Long telah berkongsi dengan memuat naik catatannya di Facebook, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan membabitkan warga asing yang berpura-pura menjatuhkan telefon pintar dan kemudian mencipta senario dengan mangsa untuk meminta pampasan wang di kawasan Bukit Bintang.

Unsplash/Gambar Hiasan

Menurut Jin Long dalam catatannya itu, selepas bertugas pada satu malam 22 Julai, beliau bergegas dengan berjalan kaki ke Plaza Fahrenheit ketika hujan lebat untuk mengambil keretanya.

Ketika melintasi dataran Lot 10 di lorong menuju ke Fahrenheit, tiba-tiba telefon pintar seorang warga asing telah jatuh ke atas jalan bersebelahannya, walaupun dia pasti sungguhpun kedudukannya sangat dekat, warga asing itu tidak bersentuhan dengannya. Ketika itu hujan sangat lebat dan dia terus sahaja ke destinasinya. 

Kemudian, Jin Long mendengar suara yang sayup kedengaran memanggilnya, “Hei! Hei!…”

“Saya rasa tidak sedap hati, Tetapi naluri saya mengatakan bahawa saya tidak boleh berhenti kerana lorong itu tidak berbumbung, jadi saya meneruskan perjalanan,” tulisnya.

Ketika berbaris di Fehrenheit untuk mengambil suhu badan, warga asing itu yang mengejarnya telah memanggil Jin Long dan dia mula berteriak, bahawa Jin Long telah berlanggar dengannya menyebabkan telefonnya terjatuh ke tanah, dan cermin telefonnya telah pecah. 

Unsplash/Gambar Hiasan

“Katanya saya kurang ajar dan tidak berhenti untuk melihat apa yang berlaku. Dia juga mengatakan mempunyai beberapa rakan yang boleh menjadi saksi. Terdapat juga CCTV di tempat kejadian, dan macam-macam lagi herdikan dan alasannya kepada saya dengan mencipta adegan menjadi tumpuan ramai,” tulis Jin Long.

Pada masa itu, pegawai keselamatan dan beberapa pelancong yang berada di dataran itu turut berhenti memerhatikan adegan ‘gempar’ tersebut. Oleh kerana Jin Long sangat yakin bahawa badannya tidak langsung bertembung dengan sesiapa pun, jadi nalurinya mengesyaki orang ini bukan orang yang baik dan dia hanya mahu memperdayanya dengan mencipta senario ‘warga asing yang menjadi mangsa warga tempatan’.

“Saya tidak akan terperangkap ke mulut harimau dan tidak mahu menurut desakannya meminta pampasan. Saya berkeras tidak akan berganjak dan memintanya melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan membiarkan polis campur tangan dalam kejadian itu,” tulis Jin Long.

MySelangor/Facebook

Tambahnya, “Dia terus berkeras mengatakan bahawa dia mahu saya membayar pampasan dan saya pula berkeras tidak mahu membayar. Saya mengangkat telefon untuk membuat panggilan polis meminta datang ke tempat kejadian, tetapi kemudian tiba-tiba dia berkata dirinya tidak bernasib baik ketika berada di lorong itu tadi dan beredar…”

Jin Long menulis taktik warga asing ini mungkin muslihat penipuan terbaru dan berharap agar orang ramai supaya berhati-hati selepas dia sendiri mengalami insiden tersebut yang membuatnya hampir terperdaya. Jika anda sering berada di kawasan sekitar Bukit Bintang, diharap sentiasa berwaspada ketika bertembung dengan warga asing ini dan konconya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular