Setiap individu perlu menjaga diri dan lebih berwaspada jika berada di luar, terutamanya wanita. Ini kerana ada sahaja penjenayah yang berada di sekeliling kita.

Seperti apa yang berlaku di China, di mana seorang gadis hampir menjadi mangsa apabila minumannya dibubuh dengan dadah oleh kenalan lelaki ketika mereka makan di sebuah restoran.

Insiden yang berlaku pada 4 Julai lalu itu sebenarnya dikongsikan menerusi platform media sosial China, Weibo oleh seorang pengguna.

ET Today

Difahamkan bahawa lelaki itu, Zhao Nanxi, telah mengajak mangsa makan di sebuah restoran yang terletak di Shenzen.

Ketika berada di sana, mangsa difahamkan bangun seketika untuk mengambil sesuatu. Pada ketika itulah, dia dihentikan oleh seorang pekerja lelaki.

Pekerja itu memberitahunya bahawa Zhao telah memasukkan serbuk putih ke dalam gelas minumannya sebaik sahaja dia bangun daripada meja makan mereka.

ET Today

Zhao juga dilihat dengan segera mengacau minuman itu dengan menggunakan jarinya agar tiada siapa yang curiga dengan tindakannya.

Mujurlah ada insan yang peka dan prihatin. Gadis itu segera menghubungi polis sebelum kembali ke meja itu dan berhadapan dengan Zhao.

Selepas insiden tersebut, gadis itu bertanya tentang dadah itu dan Zhao mengaku bahawa ianya dibeli dari Amerika Syarikat dan sememangnya digunakan untuk mengkhayalkan individu yang menggunakannya.

Kamera CCTV yang dipasang di restoran berkenaan dengan jelas merakamkan niat jahat Zhao dan juga aksi baik hati pekerja lelaki tersebut menukarkan gelas minuman yang dibubuh dadah oleh Zhao dengan alasan hendak menambah air minuman pelanggan.

ET Today

Sementara pengurus restoran pula telah mengarahkan pekerja lelakinya itu untuk menemani gadis itu pulang ke rumah bagi memastikan keselamatannya.

Gadis itu mendedahkan bahawa dia mengenali Zhao pada satu pertandingan debat antara universiti 4 tahun yang lalu.

Mereka saling bertemu memandangkan kedua-duanya menyertai pertandingan itu sekali setahun. “Walaupun kami saling mengenali sejak 4 tahun yang lalu, saya masih lagi menjadi sasarannya”, kata gadis itu.

Insiden itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak berkuasa dan buat masa ini, pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan terperinci. Semoga Zhao segera menerima hukumannya!

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP GLOBAL

Video Popular