Pergerakan untuk masuk dan keluar daripada kereta pastinya sedikit menyukarkan buat golongan kelainan upaya (OKU) ataupun mereka yang mengalami masalah kesihatan fizikal.

Keadaan ini sedikit sebanyak membataskan pergerakan dan mobiliti mereka. Namun kini ia tidak lagi menjadi satu isu.

Ini kerana seorang mekanik di Johor telah menawarkan khidmat pemasangan kerusi kereta khas, di mana ia bertujuan untuk memudahkan pergerakan golongan sedemikian ketika menggunakan kenderaan.

Syah Autoparts Kempas Utama/Facebook

Kisah tentang kerusi tersebut telah dikongsikan oleh akaun Facebook, Syah Autoparts Kempas Utama dan secara tidak langsung berjaya menarik perhatian pengguna Facebook yang lain secara amnya.

Berdasarkan perkongsian tersebut, kerusi kereta khas itu dipasang di sebuah kereta jenis Myvi milik pelanggan mereka.

“Alhamdulillah.. sold seat passo OKU. Belikan seat untuk senang bawa ayahnya ke hospital. Tq buyer. Saya jual”, tulis akaun Facebook terbabit.

Syah Autoparts Kempas Utama/Facebook

Pelanggan yang juga pemilik kereta Myvi itu difahamkan membeli kerusi tersebut bagi memudahkan urusannya membawa bapanya menaiki kereta untuk ke hospital.

Mekanik yang dikenali sebagai Maman itu menjelaskan bahawa mereka mendapatkan kerusi itu dari Jepun, di mana ia dibeli secara ‘half cut’ dan kerusi tersebut agak sukar untuk didapati di Malaysia.

Syah Autoparts Kempas Utama/Facebook

Menurut Maman lagi, sistem kerusi yang dipasang itu sememangnya sudah didatangkan bersama di dalam kotak. Pihak bengkel hanya melakukan kerja pendawaian sahaja untuk memasangnya.

Untuk anda yang tertanya-tanya mengenai kosnya, harga kerusi serta pemasangannya itu hanya menelan belanja sebanyak RM1,400 sahaja. Agak berpatutan dan berbaloi bukan?

Pasti ramai selepas ini yang mahu memasang kerusi khas sebegini. Dengan harga yang berpatutan, selepas ini lagi senang dan mudahlah golongan OKU untuk menggunakan kereta.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular