Penganiayaan ke atas umat Islam Uyghur di wilayah Xinjiang di barat laut China bukan satu-satunya pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh empat pegawai China yang baru-baru ini dikenakan sekatan oleh pentadbiran Amerika Syarikat.

Sekatan yang dikenakan di bawah Akta Global Magnitsky pada 9 Julai, telah melarang empat pegawai China dan juga ahli keluarga terdekat mereka daripada memasuki Amerika Syarikat. 

Sekatan itu juga akan menyekat hartanah di bawah nama individu berkaitan pegawai China terbabit yang berada di Amerika Syarikat, juga melarang transaksi kewangan dalam kalangan mereka, demikian yang dilaporkan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Samira Bouaou/The Epoch Times

Di Xinjiang yang menjadi penempatan 11 juta etnik Uyghur, dengan sekurang-kurangnya 1 juta daripadanya bersama etnik minoriti Islam lain telah ditahan di dalam kem tahanan dan mengalami penyeksaan serta indoktrinasi politik dalam usaha pihak berkuasa memaksa mereka untuk melepaskan kepercayaan. Dengan penganiayaan seperti itu tidak hanya berlaku di Xinjiang.

Laporan hak asasi manusia dan rekod dalaman kerajaan China mendedahkan sejumlah pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan di bawah pengawasan pegawai, yang mensasarkan pembela hak asasi manusia serta kumpulan keagamaan dan kepercayaan termasuk pengamal Falun Gong.

Juga dikenali Falun Dafa, ia merupakan amalan meditasi minda dan tubuh berdasarkan prinsip Sejati, Baik, Sabar telah menghadapi penganiayaan yang kejam sejak tahun 1999. Jutaan pengamal Falun Gong mungkin telah ditahan selama dua dekad terakhir, dengan ratusan ribu telah diseksa, demikian menurut laporan oleh Pusat Maklumat Falun Dafa.

Laman sesawang Minghui.org yang berpusat di Amerika Syarikat dan berfungsi sebagai pusat penjelasan yang memberi maklumat mengenai penganiayaan di China telah mengesahkan kematian sekurang-kurangnya 4,500 pengikut. Walaupun sukar untuk menghantar dan mendapat maklumat yang sensitif dari China, bilangan ini sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.

Pakar hak asasi manusia berkata pengalaman rejim China yang menindas Falun Gong menjadi asas yang baik bagi pihak berkuasa di Xinjiang untuk melakukan penindasan etnik Uyghur dan minoriti beragama Islam yang lain di China.

Buku Panduan Anti-Falun Gong.

Chen Quanguo, Ketua Parti Komunis China Xinjiang dan pegawai tertinggi China yang dikenakan sekatan pentadbiran Amerika Syarikat, mula menganiaya para pengamal Falun Gong ketika dia menjadi pegawai kanan di kampung halamannya di Wilayah Henan.

Dari tahun 2000 hingga 2005, dengan jawatannya sebagai pegawai kanan, Chen giat mengambil bahagian dalam penganiayaan ke atas Falun Gong, yang mana akhirnya menjadi Naib Setiausaha Parti Komunis China di Henan. 

The Wall Street Journal dalam laporan mereka pada 2019 berkata, Chen diberi kuasa dalam jabatan yang mengawasi dan memusnahkan brosur, buku dan bahan media Falun Gong, serta melucutkan jawatan pegawai kerajaan yang berlatih Falun Gong. Laporan ini yang didedahkan daripada pegawai kerajaan di wilayah itu nampaknya telah dihapuskan.

Setelah Chen menjadi Ketua Parti Komunis China Xinjiang pada tahun 2016, era itu menandakan ‘penganiayaan paling parah’ buat pengamal Falun Gong di wilayah itu, yang berisiko ditangkap ketika menaiki pengangkutan awam, melapor diri ke tempat kerja, atau mengunjungi pejabat kerajaan untuk urusan peribadi, menurut Minghui.org.

Sebelum dan selepas Persidangan Kongres Nasional ke-19 pada tahun 2017, polis Xinjiang telah menyoal semua penganut Falun Gong tempatan, menahan mereka yang enggan melepaskan kepercayaan atau meletakkan nama kesemuanya dalam senarai yang dikehendaki. Laporan Minghui pada tahun 2018 berkata, beberapa pengamal Falun Gong ditahan di rumah dan pengamal dari kawasan lain yang melalui pusat pemeriksaan keselamatan Xinjiang turut ditangkap.

Pada tahun 2017, wilayah ini meningkatkan bajet keselamatan kepada lebih dari 27.5 juta yuan (RM16.75 juta) iaitu hampir dua kali ganda dari angka bajet tahun sebelumnya. Meskipun kerajaan Xinjiang tidak memerincikan ke mana dana itu telah digunakan, wilayah tersebut dilihat telah mengalami peningkatan takat pemantauan kamera pengawasan, pemantauan telefon bimbit, dan pengumpulan data DNA.

PHILIPPE LOPEZ/AFP via Getty Images

Selama tiga tahun kebelakangan, pengamal Falun Gong di Xinjiang juga menghadapi serbuan tangkapan dengan alasan termasuk mempunyai ‘pemikiran yang tidak betul’, enggan membuka pintu untuk pihak polis, atau menggunakan aplikasi mudah alih selain daripada WeChat yang dimiliki kerajaan, yang menurut para penyelidik telah mengumpulkan data dari pengguna di China dan luar negara untuk memperbaiki mekanisme penapisannya.

Antara yang ditangkap adalah Yan Yixue berusia 90 tahun, yang telah ditahan sebaik sahaja Parti mengadakan Persidangan Dua Sesi tahunan pada akhir bulan Mei. Pada tahun 2018, Yan Yixue telah ditahan selama setahun di pusat pendidikan semula, di mana polis memukulnya kerana mengamalkan latihan Falun Gong ketika dipenjara. Dia digari di bangku besi sehingga tidak dapat bergerak selama hampir setengah bulan. Yan melakukan mogok lapar sebagai tanda protes, menurut Minghui.org.

Pegawai polis dan jawatankuasa kejiranan di Xinjiang juga sering menceroboh masuk ke rumah pengamal Falun Gong tempatan dan mengarahkan mereka secara paksa untuk mengemas kini pangkalan data dan imbasan pengesahan wajah, menurut Minghui.org.

Sarah Cook, penganalisis mengenai China dari Freedom House, sebuah kumpulan hak asasi manusia sebelum ini telah menulis analisa mengenai corak yang sama dalam penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong ke atas minoriti Muslim di Xinjiang, dengan menekankan pihak berkuasa mengikuti panduan yang terkandung dalam Buku Panduan Anti-Falun Gong.

“Ini seperti sejenis pengurusan projek. Sebaik sahaja anda melakukannya sebelum ini, ia akan menjadi lebih cepat dan teratur untuk kali kedua. Mereka tahu dengan tepat tentang apa yang harus dilakukan,” kata Sarah Cook.

Samira Bouaou/The Epoch Times

Dua pegawai China lain dalam senarai sekatan Amerika Syarikat, Zhu Hailun, mantan Naib Ketua Parti Komunis China Xinjiang, dan Wang Mingshan, Ketua Biro Keselamatan Awam wilayah itu juga terlibat dalam penganiayaan terhadap Falun Gong, demikian menurut siasatan oleh Organisasi Dunia Bagi Siasatan Penganiayaan Falun Gong, sebuah organisasi yang berpusat di Amerika Syarikat.

Organisasi itu mengaitkan sekurang-kurangnya satu kematian iaitu Sheng Kezhi yang berusia 77 tahun, seorang pengamal Falun Gong di Urumqi, Xinjiang. Isteri dan anak perempuannya, yang juga pengamal Falun Gong turut mengalami penahanan tanpa perbicaraan mahkamah selama bertahun-tahun. Selepas isterinya ditahan lagi pada tahun 2012, Sheng Kezhi meninggal dunia akibat mengalami tekanan.

“Apa yang dilakukan oleh Parti Komunis China terhadap rakyatnya sendiri adalah sesuatu yang memualkan. Kita perlu melakukan lebih banyak untuk membongkar dan mendedahkan kekejaman Parti Komunis China sehingga mereka ditahan sepenuhnya untuk menanggung jenayah pencabulan hak asasi manusia,” kata Senator Ben Sasse, perwakilan dari Nebraska dalam satu sidang media mengenai sekatan kerajaan Amerika Syarikat terhadap 4 pegawai China itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular