Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik yang baik. Terlalu banyak yang perlu dikorbankan demi mendidik anak bangsa. Bergelar guru adalah sebuah tugas yang mencabar terutama buat mereka yang mengajar di kawasan pedalaman.

Ramai sedia maklum bahawa mengajar di kawasan pedalaman terkadang sangat sukar bukan hanya daripada segi pengangkutan malah rangkaian hubungan komunikasi juga agak sukar didapati.

Inilah yang dihadapi oleh seorang guru besar yang mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman Ranau, Sabah iaitu  Sekolah Kebangsaan (SK) Nukakatan. Dia terpaksa mendaki gunung dan masuk ke dalam hutan semata-mata untuk mendapatkan rangkaian internet bagi menjalankan mesyuarat dalam talian.

Hal tersebut telah dikongsikan oleh anak perempuannya, Anis Hanani Rabdunieh  melalui laman Twitter yang menceritakan bahawa bapanya terpaksa masuk ke dalam hutan pagi itu untuk mencari rangkaian internet. Menurut Anis lagi dia mengetahui mengenai perkara itu apabila bapanya berkongsi gambar di dalam aplikasi WhatsApp keluarganya.

Kata Anis lagi ayahnya jarang menghantar mesej kerana tiada akses internet. Jika ayahnya menghantar mesej pada waktu pagi, keesokan harinya baru mereka sekeluarga mendapat mesej tersebut. Bapanya, Rabdunieh Jalil, 58, dikatakan menetap di kuaters berhampiran dengan sekolah dan hanya pulang ke rumah di pekan Ranau sekali seminggu.

Twitter | Hanani_ahr

Menurut Anis lagi kebiasaannya kalau ayahnya ada mesyuarat di luar, dia akan pulang ke rumah atau terus ke pekan. Perjalanan sehala dengan menaiki kereta mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

Namun disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sekolah akan dibuka semula, ayahnya tetap bertugas di sekolah dan perlu membuat ‘online meeting’ dengan pihak pejabat pendidikan daerah.

Twitter | Hanani_ahr

Menurutnya lagi disebabkan tiada akses Internet di sekolah, ayahnya terpaksa masuk ke dalam hutan dan mencari tanah tinggi untuk buat ‘online meeting’. Tambahan lagi, sekolah ayahnya juga dikatakan masih menggunakan tenaga solar sebagai alternatif bekalan elektrik.

Mengenai statusnya di Twitter, Anis menjelaskan bahawa dia mahu berkongsi pengalaman ayahnya yang sanggup masuk ke dalam hutan dan mendaki bukit semata-mata untuk mendapatkan akses internet bagi membolehkannya bermesyuarat secara dalam talian.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular