Kita sering kali melihat haiwan jalanan yang terbiar dan sentiasa merayau untuk mencari makanan dan tempat berteduh. Namun, jarang sekali kita memberikan perhatian yang sewajarnya kepada haiwan jalanan ini disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang enggan ambil peduli dan tidak mahu membebankan diri dengan memelihara haiwan di rumah.

Kasihanilah haiwan-haiwan ini kerana mereka juga adalah makhluk ciptaan Tuhan. Sekiranya anda tidak mampu untuk memelihara haiwan jalanan, cukuplah sekadar memberi mereka makan dan tidak melakukan kekejaman ke atas makhluk yang lemah.

Seorang gadis berusia 18 tahun dari Brownsville, Texas ternampak dua ekor anjing jalanan di sebuah kawasan parkir di restoran makanan segera. Berdasarkan pemerhatian gadis itu, kedua-dua anjing ini akan menyalak setiap kali melihat kereta lalu-lalang di kawasan berkenaan. Namun malangnya, tiada siapa yang sudi untuk turun dan menghulurkan bantuan makanan mahupun tempat tinggal.

Menurut para pekerja restoran makanan segera itu, kedua-dua anjing berkenaan sudah lama ‘tinggal’ di kawasan parkir restoran namun tiada siapa yang sanggup mengambil kedua-duanya untuk dibawa ke rumah atau pusat penjagaan haiwan terbiar. 

Tidak sanggup melihat keadaan kedua-dua anjing berkenaan, gadis yang dikenali sebagai Destiny Vasquez dan ibunya, Jessica Marin bertindak menghubungi Yusuylas Hennings bagi mendapatkan bantuan. Hennings adalah seorang aktivis yang giat mempromosikan kebajikan haiwan di media sosial dan dikenali kerana sikap kecintaannya terhadap haiwan. 

Hennings kemudiannya memuat naik beberapa gambar dan video memaparkan kedua-dua anjing itu di laman Facebook dengan harapan akan ada insan terpilih yang sudi mengambil mereka sebagai haiwan peliharaan. Tiada siapa sanggup melihat haiwan-haiwan yang malang ini hidup merempat di kawasan parkir dengan kebajikan yang tidak terjaga.

Pada ketika itulah seorang sukarelawan yang bekerja di persatuan perlindungan haiwan di Houston iaitu Ana Teran ternampak perkongsian Hennings dan mengambil keputusan untuk terus datang ke Brownsville bagi mengambil anjing tersebut dan menjaganya dengan baik. Bagi memastikan kedua-dua anjing ini selesa, Ana sanggup menyewa sebuah kereta bertujuan untuk membawa pulang anjing-anjing ini dengan selamat.

Kedua-dua anjing ini sangat pintar dan baik. Mengetahui Ana datang untuk membawa mereka pulang ke rumah, anjing ini langsung tidak melakukan cubaan untuk melarikan diri. Sebaliknya, kedua-duanya memberikan kerjasama yang baik seolah-olah mereka sudah lama menantikan saat manis ini tiba. Menurut Ana, kedua-dua anjing tersebut juga sangat tenang dan tidur dengan lena di dalam kereta sewaktu menuju ke rumahnya di Houston.

Ana kemudiannya menamakan anjing-anjing ini sebagai Patty dan Pepper. Buat masa ini, Ana mengambil 100% tanggungjawab dalam memastikan kebajikan kedua-dua anjing itu terjaga sebaik mungkin. Ana bagaimanapun turut membuka peluang kepada mana-mana individu yang sudi dan sanggup untuk memelihara kedua-duanya supaya mereka dapat menjalani kehidupan baharu yang lebih sempurna.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular