AUSTRALIA –  Gelombang kedua jangkitan Virus Parti Komunis China (COVID-19) yang melanda telah memaksa pihak berkuasa untuk mengenakan sekatan terhadap kira-kira 5 juta orang di kota kedua terbesar di negara itu.

Pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka akan mengembalikan sekatan selama enam minggu mulai malam 8 Julai untuk cuba mengatasi lonjakan kes baru yang berlaku secara luar kawalan.

Penduduk bandar dan beberapa kawasan sekitar diwajibkan untuk tinggal di rumah kecuali untuk aktiviti penting – kerja atau belajar tertentu, membeli makanan, senaman atau rawatan perubatan. Mereka tidak dibenarkan untuk meninggalkan kawasan bandar.

Darrian Traynor/Getty Images

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews yang mengumumkan langkah-langkah itu pada 7 Julai mengatakan bahawa keputusan penarikan semula arahan penjarakan sosial pada Jun, bertanggungjawab atas peningkatan jangkitan baru.

Victoria sebelum ini hanya mencatatkan kes baru dalam satu digit sahaja sebelum meningkat pada 191 kes baru pada 7 Julai, di mana hanya 31 daripadanya berkaitan dengan penularan yang diketahui.

“Kadar peningkatan kes pada tahap ini agak mustahil untuk dikurangkan memandangkan pengesanan kontak dan sumber fizikal masih tidak mencukupi, tanpa mengambil langkah penting”, kata Andrews.

WILLIAM WEST/AFP via Getty Images

“Kita kini dalam posisi yang lebih genting,mencabar dan berpotensi untuk lebih tragis daripada sebelumnya, iaitu pada beberapa bulan yang lalu”, tambahnya.

Beberapa perniagaan tidak dibenarkan untuk beroperasi termasuklah perkhidmatan kecantikan dan penjagaan diri, premis hiburan dan kebudayaan serta pusat kemudahan masyarakat.

Kafe dan restoran walau bagaimanapun akan tetap dibuka untuk pesanan bawa pulang atau penghantaran sahaja.

Lonjakan kes bertepatan dengan ujian yang lebih luas, iaitu dengan lebih daripada 26,000 ujian dilakukan dalam satu hari. Setakat ini, Victoria telah melakukan hampir 1 juta ujian saringan COVID-19.

Darrian Traynor/Getty Images

Sehari sebelum itu, pihak berkuasa juga mengumumkan penutupan pintu sempadan negeri Victoria bagi menghalang penularan wabak daripada terus menular ke kawasan-kawasan lain.

Pihak berkuasa telah mengembalikan arahan separa penutupan untuk beberapa kawasan di Melbourne setelah beberapa penduduk di kompleks perumahan awam diuji positif dalam beberapa hari terakhir.

Kira-kira 3,000 penduduk di sembilan bangunan tinggi diberi notis selama satu jam, yang dilarang meninggalkan pangsapuri mereka selama sekurang-kurangnya lima hari ketika ujian secara meluas dilakukan.

Darrian Traynor/Getty Images

Siasatan daripada jujukan genom mendapati penularan wabak berasal daripada pekerja dan tetamu hotel yang menjadi lokasi kuarantin untuk warga Australia dan penduduk tetap menjalani pengasingan selama 14 hari selepas pulang.

Setakat ini, Victoria menjadi negeri yang sangat terkesan dengan jangkitan gelombang kedua wabak berkenaan. Sementara negeri paling ramai penduduk, New South Wales hanya mencatatkan tujuh kes baru.

Asanka Ratnayake/Getty Images

“Gelombang kedua wabak ini menjelaskan bahawa virus ini berpotensi untuk ‘meledak’ dan kita berhadapan dengan cabaran getir”, kata pakar penyakit berjangkit dari University of Melbourne, James McCaw.

Gelombangan kedua ini juga menambah kegelisahan tentang kadar pemulihan ekonomi Australia yang diramalkan akan sukar.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular