Siapa sangka, bau yang agak luar biasa berasal daripada bungkusan yang mencurigakan di sebuah pejabat pos yang terletak di Bavaria, Jerman telah menyebabkan seramai enam pekerja dibawa ke hospital.

Tidak cukup dengan itu, ia turut menyebabkan beberapa individu lain terpaksa dipindahkan. Bau tersebut pada awalnya disangka sebagai gas berbahaya namun sebaliknya, ia hanya bau buah durian sehingga mencetuskan panik!

Sehubungan itu, pihak polis dan bomba di Schweinfurt bergegas ke pejabat pos tersebut ekoran bimbang bungkusan itu membebaskan bahan berbahaya. Seramai 12 pekerja menerima rawatan ekoran rasa loya.

Gambar Hiasan/Unsplash

Pihak berkenaan juga telah memindahkan 60 individu yang berada di bangunan berkenaan sebelum mengetahui bahawa isi bungkusan itu sebenarnya empat biji durian yang sepatutnya dihantar kepada penerima yang berusia 50 tahun di Nuremberg.

Buah durian tersebut difahamkan telah dihantar oleh seorang rakan penerima berkenaan dan menurut laporan lanjut, penerima itu sudah pun menerima bungkusan itu dengan selamat.

Sememangnya raja buah yang memiliki aroma yang kuat itu merupakan buah yang dilarang untuk dibawa di kebanyakan hotel dan juga di dalam pengangkutan awam, lebih-lebih lagi di luar negara.

Tahun lalu, perpustakaan di University of Canberra juga mengalami perkara yang sama, di mana laporan mengatakan bahawa terdapat satu ‘bau gas’ yang kuat telah dikesan.

Terdapat kira-kira 200 baka durian, di mana setiap daripadanya memiliki tekstur, rasa dan bau yang berbeza-beza. Di Malaysia mahupun negara Asia Tenggara, ia merupakan antara buah yang digemari ramai.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular