Seorang bekas askar wanita Korea Utara yang berpaling tadah mendedahkan kepada media Britain akan kisah tragis menjadi askar wanita Korea Utara semasa berada dalam angkatan tentera, termasuk diperkosa oleh pegawai atasan dan kekurangan makanan dalam kem tentera sehingga membuat para tentera mengalami kekurangan zat.

Ramai askar wanita mengalami menopaus awal disebabkan oleh tekanan latihan ketenteraan dan mereka dipaksa menggunakan tuala wanita yang dikitar semula berulang kali.

Lee So Yeon, seorang pembelot Korea Utara yang telah berkhidmat dalam angkatan tentera Korea Utara selama 10 tahun, mendedahkan dalam satu wawancara di BBC bahawa dia mula menyertai pasukan tentera pada tahun 1992 ketika usianya mencecah 17 tahun. 

YouTube/Gambar Hiasan

Di dalam tentera, dia melihat beberapa orang komander tinggal di pejabat setelah selesai waktu bekerja, dan memerintahkan askar wanita masuk ke biliknya, yang mana kemudian menyerang mereka secara seksual.

Lee So Yeon berkata, “Serangan seksual dan perkosaan terhadap tentera wanita berlaku berulang kali dan tidak pernah berakhir.”

Lee So Yeon yang kini berusia 45 tahun berkata latihan ketenteraan yang ketat dan kekurangan makanan telah membebankan fisiologi wanita. Ramai kalangan mereka mengalami gangguan haid kerana tekanan emosi dan kekurangan zat makanan setelah enam bulan menjalani latihan wajib khidmat ketenteraan.

“Ada sesetengah askar wanita yang gembira kitaran haid mereka berhenti kerana jika mereka mengalami haid, hari-hari mereka akan menjadi lebih buruk. Seorang askar wanita berusia 20 tahun memberitahu saya bahawa dia sudah tidak mengalami haid selama 2 tahun,” kata So Yeon.

Lee So Yeon berkata dalam tentera, tahap kebersihan cukup buruk dan tentera wanita terpaksa menggunakan kembali tuala wanita ketika datang haid. Di Korea Utara, tiada tuala wanita moden pakai buang dan wanita yang datang haid hanya menggunakan tuala wanita tradisional yang diperbuat daripada pelapik kapas dan ia mesti dicuci berulang kali. 

YouTube/Gambar Hiasan

Untuk mengelakkan daripada dilihat oleh tentera lelaki di dalam bilik mandi yang dikongsi, askar wanita terpaksa bangun pagi lebih awal untuk membersihkan pelapik kapas berkenaan.

“Lebih memburukkan keadaan ialah tiada bekalan air panas dan tiada pancuran mandi. Bilik mandi di kem tentera disambungkan terus ke mata air. Kadang-kadang terdapat katak dan ular yang akan keluar bersama air dari paip air yang dibuka,” kata So Yeon.

Tambah So Yeon, tempat tidur di berek tentera diperbuat daripada dedak beras, yang bukan sahaja berbau pelik tetapi juga akan membuatkan semua askar berasa tidak selesa ketika tidur.

Pada tahun 2008, Lee So Yeon melarikan diri dari Korea Utara, tetapi ditangkap di sempadan China lalu dihantar kembali ke Korea Utara dan menjalani hukuman penjara selama satu tahun. 

Setelah dibebaskan dari penjara, Lee So Yeon melakukan cubaan melarikan diri sekali lagi, dan akhirnya tiba di China yang mana kemudian berjaya mendapat suaka di Korea Selatan. Lee So Yeon menubuhkan sebuah organisasi di Korea Selatan untuk membantu wanita Korea Utara yang berpaling tadah.

Epoch Times/STR/AFP/Getty Images

BBC melaporkan bahawa di bawah pemerintahan diktator Kim Jong-un, wanita Korea Utara diharuskan berkhidmat dalam angkatan tentera bermula usia 18 tahun untuk tempoh sekurang-kurangnya 7 tahun sehingga mereka bersara pada usia 25 tahun.

Wanita dengan bakat khas, termasuk atlet dan pemuzik boleh dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan penyiasatan di mana memperlihatkan nasib malang wanita Korea Utara yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan diskriminasi gender.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular