Hasrat sepasang anak-beranak yang ingin merasa lagi ‘air tangan’ insan yang paling mereka rindui sejak 5 tahun lalu tercapai setelah mereka menyertai satu program rancangan televisyen Jepun.

“Ini adalah hidangan yang dimasak oleh ibu saya pada 5 tahun yang lalu, dan saya harap saya dapat merasakannya lagi,” luah Takaya Reiki, 25, kepada program rancangan hiburan Jepun yang bertajuk “Detective! ナイトスクープ.

Gambar hiasan. Unsplash

Menerusi program rancangan itu, pasukan rancangan bersama dengan pengacara rancangan telah datang ke rumah Reiki dan bapanya, dengan matlamat untuk cuba menghangatkan semula masakan terakhir dari mendiang ibunya yang telah meninggal dunia pada 5 tahun lalu.

Menceritakan tentang kisah yang sayu itu, Reiki mengatakan bahawa menu daging yang dimasak oleh mendiang ibunya itu telah dimasak pada pagi hari kematian ibunya, selepas mereka membincangkan tentang menu makan malam pada hari itu. 

Bagaimanapun, selepas Reiki pulang dari sekolah, dia mendapati bahawa mendiang ibunya telah terlantar di lantai dan ibunya segera dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan. Bagaimanapun, mendiang ibunya telah disahkan maut akibat pendarahan subarachnoid.

Selepas insiden yang menyedihkan itu, Reiki dan bapanya teragak-agak untuk memakan hidangan terakhir mendiang ibunya itu dan akhirnya mereka memutuskan untuk menyimpan masakan daging itu di dalam bekas dan diletakkan dalam peti sejuk beku.

Lima tahun kemudian, Reiki meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan rancangan televisyen yang datang ini untuk menghangatkan semula menu masakan mendiang ibunya itu.

Untuk mendapatkan rasa asli masakan mendiang ibunya yang ‘dihentikan’ selama 5 tahun, pasukan rancangan itu telah menjemput seorang profesor dari Jabatan Biologi untuk menguji masakan itu terlebih dahulu kerana masakan itu sudah dibekukan terlalu lama.

Syukurlah, walaupun keputusan ujian menunjukkan bahawa masakan itu mempunyai kehadiran bakteria dan boleh menyebabkan sakit perut selepas pengambilan, namun masakan itu masih boleh dimakan dalam amaun yang kecil selepas dimasak pada suhu tinggi melebihi 100 °C.

Program rancangan itu juga turut menjemput seorang tukang masak profesional untuk ‘memulihkan’ semula masakan mendiang ibu Reiki. Bagi mendapatkan rasa asli masakan mendiang, tukang masak jemputan itu telah menyahbekukan daging itu, kemudian memanaskan masakan dalam periuk tekanan dan akhirnya menambah sedikit halia dan daun bawang untuk mendapatkan rasa segar seperti baharu dimasak.

Sebaik sahaja menu masakan dihidangkan, anak beranak itu terus menjerit, “inilah baunya!”

Selepas mencuba sesudu masakan yang telah dimasak semula itu, Reiki tidak dapat menahan rasa sebaknya, “sangat sedap, ini benar-benar rasa dari ibu,”

Bapa Reiki yang sama-sama merasai masakan itu juga menitiskan air matanya sambil berkata, “lima tahun…”

Cabaran ini pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Semoga dengan sesudu masakan mendiang ibu Reiki, mereka anak beranak dapat mengubati rasa rindu yang terbuku di dada.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular