Tidak dapat dinafikan, hubungan antara bapa dan anak perempuannya adalah hubungan yang sangat unik. Hubungan yang terbina sejak dari lahir ini dikatakan boleh membentuk pengalaman semasa membesar bagi anak-anak dan seterusnya berkait rapat dengan tingkah laku dan pemikirannya sebagai orang dewasa.

Oleh itu, menerusi entri ini, kami akan berkongsi dengan anda kepentingan seorang bapa yang mampu menyokong dan memahami anak perempuannya agar anak itu dapat membesar menjadi seorang wanita dewasa yang matang.

Penglibatan dari usia muda

Unsplash

Kini, budaya telah berubah. Semakin banyak golongan bapa yang tidak lagi kekok untuk terlibat semasa pembesaran anak-anak. Sejak hari pertama, para bapa didorong untuk memberi susu formula kepada anak perempuan mereka, menukar lampin, memandikan, menidurkan dan menenangkan tangisan anak perempuan mereka.

Tanpa mereka sendiri sedari, sebenarnya, penglibatan sekecil itu telah mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara bapa dan anak, yang seterusnya membolehkan anak-anak membesar dengan rasa percaya kepada bapa mereka.

Pengaruh seorang bapa terhadap imej diri anak perempuan

Unsplash

Hubungan yang sihat hasil daripada keterlibatan seorang bapa dalam kehidupan seorang anak perempuan dari kecil adalah penting kerana hubungan ini seterusnya dapat membantu anak perempuan berasa yakin dengan diri sendiri serta mempunyai pemikiran yang positif.

Oleh itu, para bapa perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak perempuan mereka tidak kira secara lisan, keterlibatan dalam momen-momen penting hidup anak-anak, menghormati perasaaannya dan mendengar luahannya. Tindakan ini akan membantu anak-anak menyingkirkan rasa tidak selamat sekaligus akan meningkatkan keyakinan dirinya terhadap kemampuan diri mereka sendiri.

Kepentingan seorang bapa dari segi emosi anak perempuan

Unsplash

Sekiranya seorang anak perempuan mempunyai hubungan yang baik dengan bapanya, risiko untuk mengalami kemurungan atau kegelisahan adalah cenderung lebih rendah. Hal ini adalah kerana kajian mendapati bahawa anak-anak ini didapati lebih arif menangani tekanan yang dialami.

Oleh itu, adalah penting bagi seorang bapa untuk menjalin hubungan yang erat dengan anak perempuannya agar anak-anak berasa selesa untuk meluahkan segalanya kepada orang yang mereka paling percaya, iaitu bapa mereka sendiri.

Pengaruh praktikal seorang bapa

Unsplash

Selain dari apa yang telah dinyatakan, bapa juga mempunyai peranan penting dalam membentuk pandangan anak perempuan mereka dari segi kewangan. Kanak-kanak perempuan lazimnya melihat bapa mereka sebagai simbol kestabilan kewangan dan kesejahteraan fizikal dan emosi.

Sekiranya bapa banyak terlibat sepanjang pembesaran anak perempuannya, maka anak ini akan lebih cenderung mempunyai kesihatan fizikal dan kewangan yang lebih baik yang seterusnya dapat membawanya kepada kejayaan.

Pengaruh seorang bapa terhadap hubungan anak perempuan

Unsplash

Bapa merupakan salah satu contoh utama yang dilihat oleh seorang anak perempuan apabila berbicara tentang hubungan romantis. Bapa bertanggungjawab untuk membuktikan kewujudan rasa hormat dan cinta pada pasangan.

Bapa perlu menunjukkan bagaimana seorang wanita itu dihormati, terutamanya kepada ibunya. Hal ini secara tidak langsung akan memberi impak dan pandangan kepada anak perempuan yang menyaksikan hal ini sepanjang pembesarannya.

Bagi anak perempuan yang masih kecil, hubungan awal bersama bapanya mencerminkan persepsinya tentang apa yang diharapkan dan apa yang seharusnya diterimanya daripada pasangan romantisnya kelak. Kajian juga mendapati bahawa wanita matang cenderung punyai hubungan jangka panjang dengan lelaki yang lazimnya mempunyai persamaan dengan bapa mereka.

Peranan ibu

Unsplash

Walaupun bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan anak perempuan, namun peranan ibu juga tidak kurang pentingnya. Ibu memberi anak perempuan mereka contoh bagaimana kelakuan yang seharusnya dilakukan dalam hubungan orang dewasa dan ibu bertanggungjawab menunjukkan bagaimana untuk menjadi ibu kepada anak mereka sendiri.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular