Ramai antara kita yang suka melibatkan diri dalam bidang perniagaan sama ada secara langsung, atas talian, kecil-kecilan dan sebagainya demi menjana pendapatan tambahan.

Dalam dunia zaman kini, memiliki satu jenis pekerjaan belum cukup untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kita. Ramai yang akan mencuba pelbagai kaedah penjualan demi melariskan produk jualan masing-masing.

Tetapi bagi kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun ini, memulakan perniagaan menjual jus mangga di usia yang begitu muda demi mendapatkan permainan video PS4 adalah satu usaha yang cukup membanggakan dan menunjukkan kematangannya!

Sally Nur Dinie/Facebook

Kenali Danish Izzuddin yang sanggup mengerah tenaga demi memajukan perniagaannya sekali gus membolehkan dia memperolehi apa yang dihajatinya. Pada awalnya, seperti kanak-kanak seusianya, meminta ibu bapa membelikan permainan video adalah satu perkara yang biasa.

Bagaimanapun, ibu bapa Danish telah meletakkan syarat di mana Danish perlu memperoleh keputusan yang cemerlang dan mendapat tempat yang pertama di dalam peperiksaan.

Namun begitu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mengikut jejak langkah ibunya yang turut berniaga jeruk mangga, Danish nekad untuk mencari jalan lain bagi membolehkan impiannya tercapai dengan menjual jus mangga sebagai satu sumber pendapatan.

@Sally_Dinie/Twitter

Usaha jitu Danish turut dibantu oleh kakaknya, Sally Nur Dinie yang bertanggungjawab dalam mempromosikan perniagaan Danish di Facebook dan juga laman Twitter. Setiap botol jus mangga ini dibuat oleh Danish sendiri menggunakan buah mangga segar dan sesiapa yang melihatnya pasti akan terliur!

Sally Nur Dinie/Facebook

Nampaknya Sally telah melakukan kerja yang baik apabila perkongsian mengenai perniagaan adiknya menjadi tular dan berjaya mencuri perhatian ramai.

Menerusi satu temubual bersama mStar, Sally telah berkongsi detik-detik permulaan perniagaan adiknya dan bagaimana perniagaan kecil-kecilan itu menerima sambutan yang hangat daripada ramai pihak.

“Sebenarnya dari tahun lepas adik nak PS4, tapi mak kata kena dapat nombor satu dalam peperiksaan, tapi tak dapat. Permintaan bertambah selepas saya post di Twitter. Ada yang dari luar Selangor pun nak beli. Sekarang kami jual secara COD (cash on delivery) sahaja”.

Sally Nur Dinie/Facebook

Tambah Sally lagi, ada juga pelanggannya yang menetap di luar Selangor dan telah membayar sejumlah wang namun meminta agar jus mangga itu disedekahkan kepada orang lain. Buat masa ini, sebanyak 100 botol jus mangga terjual dalam sehari dan membuatkan Danish semakin tidak sabar untuk membeli PS4 idamannya.

Semoga Danish akan terus berusaha dan berdikari serta menjadi contoh buat orang lain. Kecil-kecil dah pandai cari duit. Pasti ibu bapanya bangga!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular