Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan, kita dapat melihat majoriti rakyat Malaysia mula menghabiskan masa mereka di rumah dengan mencuba pelbagai resipi yang tular di media sosial seperti dalgona. Selain itu, salah satu fenomena yang melucukan sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan adalah kehabisan stok roti Gardenia di merata kedai seluruh Malaysia!

Memandangkan ramai rakyat Malaysia gemar mencuba pelbagai resipi baharu ditambah pula dengan peristiwa kehabisan stok roti pada waktu ini, apa kata anda cuba menghasilkan sendiri roti yang gebu umpama awan ini!

Resepi Roti Gebu Mudah Viral ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Azlina Ina dan berjaya meraih lebih 44 ribu jumlah perkongsian! Jom cuba?

Bahan A

  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 cawan air

Bahan B

  • 1 paket yis segera
  • 1/2 cawan air suam
  • 2 sudu besar gula

Bahan C

  • 1kg tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 3 sudu besar marjerin atau mentega (boleh digantikan dengan minyak)
  • 3 sudu besar Bahan A
  • Garam halus
  • 4 sudu besar susu tepung
  • 1/2 sudu besar serbuk penaik (baking powder)
  • 5 sudu besar gula
  • 1 cawan air sejuk

Cara-caranya:

Campurkan Bahan A dan masak di atas api kecil sehingga menjadi likat. Ketepikan.

Campurkan kesemua Bahan B di dalam gelas yang tinggi bagi mengelakkan yis melimpah. Jangan kacau. Tutupkan gelas dan biarkan yis mengembang selama 10 ke 15 minit. Sekiranya yis anda tidak berbuih selepas 10 minit, ini bermakna yis anda telah rosak.

Satukan Bahan C di dalam mangkuk yang besar. Gaul dengan jari sehingga menjadi serbuk roti.

Masukkan setengah cawan yis yang telah kembang. Uli perlahan.

Masukkan 1 cawan air sejuk ke dalam adunan tepung. Tambahkan air sejuk lagi jika perlu sehingga doh menjadi agak basah dan melekat di tangan.



Uli menggunakan tapak tangan dan taburkan sedikit demi sedikit tepung gandum bagi menghasilkan permukaan doh yang lembut, licin, tidak melekat dan tidak berketul.

Kemudian, pindahkan doh ke dalam mangkuk lain. Pastikan anda taburkan sedikit tepung di dasar mangkuk bagi mengelakkan doh anda melekat. Tutupkan mangkuk menggunakan kain lembap yang bersih.

Biarkan doh anda mengembang di tempat yang suhunya agak panas selama 40-45 minit.

Apabila doh sudah mengembang, tumbuk doh bagi mengeluarkan anginnya.

Kemudian, bentukkan doh menjadi bentuk bola dan letakkan di atas loyang yang telah disapu dengan minyak. Anda juga boleh menyapu sedikit minyak pada tangan anda ketika membentukkan doh.

Susun doh di dalam loyang dan biarkan seketika sehingga doh mengembang.

Bakar pada suhu 150ºC selama 45 minit. Anda juga boleh sapukan mentega, susu cair atau minyak di atas roti yang baru dibakar bagi menghasilkan permukaan roti yang berkilat.

Selamat mencuba!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular