Walaupun sudah hampir dua minggu negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih kelihatan lagi segelintir individu yang melanggar arahan dengan keluar daripada rumah tanpa sebab yang munasabah.

Perkara sebegitu ternyata mengundang rasa tidak senang dan menjengkelkan majoriti daripada kita. Oleh kerana itulah, seorang lelaki muncul dengan idea bernas untuk mengurangkan pergerakan keluar penduduk daripada rumah masing-masing.

Pada 28 Mac lalu, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Muhd Urabil Alias telah memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan kelibat ‘makluk’ berpakaian serba putih.

Muhd Urabil Alias/Facebook

“Abang RELA, Polis, tiada kerja kosong untuk bertugaskah pada malam ini? Boring lah duduk sorang-sorang”, tulisnya pada kenyataan yang turut disertakan dengan foto-foto dirinya mengenakan pakaian tersebut untuk ‘menakutkan’ penduduk di sana yang ingkar akan PKP.

Muhd Urabil Alias/Facebook

“Masih ramai orang terutama remaja yang keluar malam dan tidak patuh arahan. Saya mengambil pendekatan memuat naik gambar itu di Facebook”, kata lelaki yang berasal dari Chukai, Terengganu itu.

Menurutnya, sudah pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh pihak berkuasa termasuklah menjalankan rondaan untuk memastikan golongan muda kekal duduk di rumah namun masih ada yang degil.

Muhd Urabil Alias/Facebook

“Saya hanya ingin mengusik remaja yang degil di kawasan rumah di Taman Anika Jaya, Kampung Tempurung, supaya tidak lagi keluar merayau pada malam. Harapan saya supaya mereka patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan”.

Gambarnya berpakaian seperti lembaga putih dan berdiri di atas sebuah van kemudiannya tular di laman Facebook dan setakat ini telah dikongsi sebanyak 3,500 kali dan menerima 1,000 reaksi daripada pengguna.

Tambahnya lagi, pendekatan yang dilakukannya itu nampaknya berjaya memandangkan ramai individu yang percaya dan kini berasa bimbang dan takut untuk merayau pada waktu malam.

Dalam pada itu, Urabil turut berharap gambar yang tular berkenaan tidak mencetuskan pelbagai tanggapan negatif mahupun kepercayaan karut. “Bukan niat saya untuk cari perhatian. Saya dan isteri memohon maaf jika perbuatan itu melampau”, akhirinya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Ria

Video Popular