MANILA – Pada 29 Mac yang lalu, sebuah pesawat kecil yang membawa peralatan perubatan menuju ke Haneda, Jepun dilaporkan meletup ketika ingin berlepas, mengorbankan lapan orang penumpang dan kru penerbangan.

Menurut Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), pesawat Lionair yang merupakan pesawat khidmat tempahan khas berdaftar di Filipina itu dijadualkan berlepas ke Haneda, Jepun namun meletup di penghujung landasan pesawat kira-kira jam 8 malam.

Ezra Acayan/Getty Images

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tiada sebarang kaitan dengan operasi Lionair yang berpangkalan di Manila.

Menurut Ketua Palang Merah Filipina dan senator Richard Gordon, pesawat berkenaan difahamkan telah membawa tiga orang kakitangan perubatan, tiga anak kapal dan juga seorang pesakit serta seorang pengiring.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal di udara manakala pihak bomba pula berusaha untuk memadamkan kebakaran. “Malangnya tiada penumpang yang terselamat dalam kemalangan itu”, jelas kenyataan daripada pihak berkuasa Lapangan Terbang Manila (MIAA).

Menurut MIAA lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Penguasa Aeronotik Awam Filipina. Landasan berkenaan difahamkan telah ditutup untuk sementara waktu.

Pengurus Besar MIAA, Eddie Monreal, mengesahkan bahawa individu yang terkorban termasuklah seorang rakyat Amerika Syarikat dan seorang rakyat Kanada sementara selebihnya merupakan warga tempatan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular