Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita terlupa terdapat segolongan warga yang dikatakan ingkar dengan masih duduk di luar tanpa tujuan tetapi kemudian memberikan alasan mereka yang sangat menyedihkan, mereka buntu dan kelaparan kerana terputus sumber pendapatan harian.

Dalam satu muat naik posting Polis Johor di Facebook, dua anggota polis menceritakan bagaimana pada ketika membuat rondaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka telah terserempak dengan pasangan suami isteri dan anak mereka yang duduk kebingungan di taman permainan.

Selepas mendekati keluarga ini, Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin telah mengarahkan mereka untuk pulang dan duduk di rumah serta mematuhi perintah kawalan pergerakan kerajaan.

Tiba-tiba si isteri menangis sambil menjelaskan mereka kebuntuan kerana ketiadaan bekalan makanan di rumah dan mereka tiada wang langsung untuk membeli barangan keperluan penting itu.

Pasangan ini berkata mereka tinggal di sebuah bilik sewa di Taman Tampoi Indah, Johor dan akibat wabak yang sedang melanda kini, si suami telah terpaksa diberhentikan kerja separuh masanya di Singapura kerana gagal memperolehi permit, sementara si isteri yang bekerja sebagai tukang cuci di Larkin telah diarahkan bercuti tanpa gaji.

Oleh kerana mereka bekerja dengan gaji harian, maka tempoh perlaksanaan PKP selama 14 hari itu sudah memeritkan, dan tambahan tempoh lanjutan 14 hari lagi sudah pasti lebih memeritkan.

Berasa amat terkesan dengan kesempitan hidup pasangan ini dan anak kecil mereka yang dilihat hanya mampu meminum Milo dicampur gula dalam botol susunya, kedua anggota polis itu telah membawa keluarga ini ke sebuah kedai runcit berdekatan.

Koperal Mohd Hisham dan Konstabel Mudrikah Nazirul kemudian membelanjakan barangan runcit asas berupa makanan dan susu formula untuk anak kecil pasangan ini sebelum mengiringi mereka pulang untuk kekal duduk di rumah.

Dalam posting di Facebook yang mendapat lebih 12,000 perkongsian itu, pihak Polis Johor telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Koperal Mohd Hisham dan Konstabel Mudrikah Nazirul di atas sikap keprihatinan dan keikhlasan membantu golongan memerlukan dengan kemampuan mereka.

Rata-rata netizen berasa tersentuh serta berterima kasih dengan tindakan kedua anggota polis berhati mulia ini dan memuji sikap mereka, sambil berharap pihak berwajib supaya segera membantu pasangan berkenaan.

Polis Johor/Facebook

Sambil ada yang memberi komen Perintah Kawalan Pergerakan selama tempoh hampir sebulan akan memberi kesan kepada golongan miskin bandar yang tidak berkemampuan menyara keluarga dengan keperluan asas harian kerana tidak bekerja.

Polis Johor/Facebook

Semoga golongan terkesan seperti pasangan ini dan ramai lagi di luar sana akan mendapat bantuan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan yang akan menyalurkan Pakej Rancangan Ekonomi bermula bulan April 2020 seperti diumumkan Perdana Menteri.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular