Memandangkan virus Parti Komunis China (COVID-19) ini telah menular ke seluruh dunia dan mengorbankan seramai 24,087 individu, kebanyakan pemimpin negara mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan ada juga yang sehingga ke tahap perintah berkurung demi menangani penyebaran wabak yang membunuh ini.

Ketika menghadapi saat-saat yang mencabar ini, semua individu diminta untuk kekal berada di rumah dan mengamalkan jarak sosial di antara satu sama lain. Di Malaysia, tempoh PKP telah dilanjutkan sehingga 14 April hadapan dan hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan untuk keluar rumah bagi membeli keperluan isi rumah.

Sementara itu di Mexico, seorang lelaki menjadi tular di internet selepas dia mengarahkan anjing peliharaannya untuk membelikan sesuatu di kedai menjadi berita hangat di media sosial. Dalam perkongsian tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Antonio Munoz dikhabarkan sedang menjalani tempoh kuarantin di rumahnya. Tetapi pada hari ketiga tempoh kuarantin itu, Antonio dikatakan mula teringin untuk menikmati Cheetos (sejenis makanan ringan).

Memandangkan Antonio dilarang untuk keluar rumah, dia telah mengarahkan anjing kesayangannya untuk melakukan tugas membelikan Cheetos baginya. Memandangkan manusia dan haiwan tidak boleh berkomunikasi secara lisan, Antonio telah melekatkan sehelai nota di belakang badan anjingnya lalu menghantar si comel itu ke kedai di hadapan rumah.

“Helo Encik Kedai. Tolong jual beberapa bungkus Cheetos kepada anjing saya. Saya mahu yang warna jingga, bukan merah kerana ianya terlalu pedas. Anjing saya mempunyai $20 pada kolarnya. AMARAN: Anjing ini akan menggigit jika tidak dilayan dengan baik. Jiran hadapan anda”.

Bermacam-macam kemungkinan boleh terjadi apabila haiwan diarahkan untuk melakukan sesuatu seperti ini. Mungkin anjing ini akan keluar dan terus melarikan diri, enggan mendengar kata dan hanya mahu tidur, menggigit nota dan mengoyakkannya serta bermacam-macam lagi. Tetapi mengejutkan, anjing yang comel ini pulang semula ke pangkuan tuannya sambil menggonggong sebungkus Cheetos berwarna jingga kegemaran tuannya.

Tidak pasti adakah Antonio turut ke kedai itu bersama anjingnya untuk melihat sama ada misi ini berjaya atau anjing ini sememangnya memiliki kepintaran yang tinggi, kisah ini sememangnya sangat mengagumkan! Kecomelan dan kepatuhannya terhadap arahan membuatkan ramai memuji Antonio kerana memiliki seekor peneman yang sangat setia dan penyayang.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular