Susulan krisis ekoran daripada penularan wabak COVID-19 di Malaysia, pihak kerajaan banyak mengumumkan pendekatan-pendekatan yang mampu meringankan beban dan tanggungan oleh rakyat secara amnya.

Namun nampaknya bukan pihak kerajaan sahaja yang menawarkan kelonggaran dan bantuan buat rakyat Malaysia. Terdapat segelintir insan juga turut mahu membantu meringankan beban insan lain.

Gambar Hiasan/Facebook

Memahami kesukaran untuk meneruskan kehidupan di saat-saat sebegini, seorang pemilik rumah sewa yang dipercayai bernama Eng Chee Kiam turut menawarkan pengecualian pembayaran rumah yang disewanya.

Kisah tersebut sebenarnya dikongsi oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Siti Shabariya Sahlan menerusi tangkap layar perbualan bersama pemilik rumah sewa tersebut.

Menurut Siti, Eng Chee Kiam sebenarnya merupakan pemilik rumah yang kini sedang disewa oleh ibu mertuanya.

Siti Shabariya Sahlan/Facebook

Berdasarkan perbualan itu, Eng mengatakan bahawa penyewa tidak perlu membayar sewa untuk bulan April ekoran situasi kini yang kian meruncing. Beliau turut memesan agar duit itu digunakan untuk membantu keluarga.

“Terima kasih banyak-banyak, encik. Walaupun kita berbeza agama tetapi encik sangat baik terhadap keluarga kami”, balas si penyewa yang juga sempat mendoakan agar Eng dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan.

Tambah Siti lagi, kadar sewaan bulanan rumah berkenaan adalah RM600. Ya, ia bukanlah satu jumlah yang sedikit untuk ditolak oleh para pemilik rumah sewa sebenarnya, bukan?

Sehingga kini, perkongsian berkenaan menerima kira-kira 3,400 reaksi daripada warga Facebook. Rata-rata pengguna memuji keikhlasan dan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Eng.

Sememangnya beliau merupakan contoh terbaik untuk diikuti

Siti Shabariya Sahlan/Facebook

Siti Shabariya Sahlan/Facebook

Ya, buat baik pasti akan dibalas baik

Siti Shabariya Sahlan/Facebook

Terima kasih buat individu yang membantu meringankan beban dan tanggungan insan lain, terutamanya mereka yang ditimpa kesusahan dan kesukaran untuk meneruskan kehidupan di saat ini.

Dalam kesempitan jangan pula kita gunakan kesempatan itu untuk menekan golongan sebegini. Sama-samalah kita bantu…

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular